Monday, 18 July 2016
Nur Jazlan tiada ‘stature’ untuk nasihat Dr M – Khairuddin
PETALING JAYA: Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak ada ‘stature’ (kedudukan) untuk memberitahu apa yang bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad perlu buat, kata Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.
Bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan itu berkata demikian sebagai respons kepada peringatan Nur Jazlan kepada Dr Mahathir supaya segera mendaftarkan parti politik baharunya.
“Kami faham prosedur pendaftaran sebuah pertubuhan parti politik. Nur Jazlan tidak mempunyai ‘stature’ (kedudukan) untuk menasihati atau mendesak Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Nur Jazlan, yang juga ahli Parlimen Pulai semalam berkata kementeriannya tidak mahu rakyat terpedaya dengan parti itu jika ia ditubuhkan demi kepentingan peribadi, bukannya untuk kebaikan rakyat.
Menjawab kenyataan itu, Khairuddin yang dijangka akan menjadi sebahagian daripada parti baharu diterajui Mahathir berkata, tidak seperti Nur Jazlan bakal ahli parti berkenaan bukan “pengkhianat”.
“Saya ingin memberi amaran kepada beliau jangan buat kenyataan serta tuduhan tidak berasas yang cadangan penubuhan parti baharu ini hanyalah untuk kepentingan diri Mahathir.
“Nur Jazlan seorang pemimpin tidak berprinsip yang tidak harus diberi tempat dalam Parlimen… jangan ajar itik berenanglah,” katanya.
Khairuddin mendakwa Nur Jazlan tahu apa sebenarnya berlaku dalam kes skandal 1MDB ketika menjadi pengerusi PAC.
“Beliau dulu pengerusi PAC siasat kes skandal kewangan terbesar di dunia sebelum disogok dengan jawatan timbalan menteri yang akhirnya beliau serta tiga lagi ahli PAC terpaksa melepaskan jawatan masing-masing kerana dilantik ke jawatan baharu.
“Beliau menghampakan hasrat 30 juta rakyat pada waktu itu kerana berhenti di tengah jalan daripada menyiasat kes skandal 1MDB.
“Saya juga ingin mengingatkan seluruh rakyat serta pengundi di kawasan Pulai untuk tolak dan jangan undi Nur Jazlan pada pilihan raya kelak,” katanya.
Khamis lalu, Dr Mahathir mengumumkan parti baharu yang turut dipersetujui parti pembangkang akan ditubuhkan tidak lama lagi untuk membentuk pakatan pembangkang lebih besar bagi menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
Selain Khairuddin, antara yang dikatakan berminat menyertai parti itu ialah bekas pemimpin Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhir Mahathir dan Datuk Seri Shafie Apdal.
- FMT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment