Monday, 18 July 2016
Sistem saringan canggih halang individu ancam keselamatan masuk negara
PETALING JAYA: Pihak Imigresen tidak perlu menunggu sehingga penumpang mendarat untuk memulakan saringan ke atas mereka dengan adanya Pengenalan Sistem Saringan Penumpang (APSS) kelak.
Berbeza dengan sistem semasa, APSS mampu memberi masa kepada pihak berkuasa menghalang mana-mana individu berkaitan dengan kumpulan militan memasuki negara, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed.
“Pihak berkuasa dapat memulakan pemeriksaan silang menggunakan pangkalan data agensi-agensi keselamatan lain termasuk Interpol sebelum suspek berlepas atau semasa terbang dari negara asal,” katanya seperti yang dilapor oleh The Star.
Pengesanan ini katanya, lebih berkesan dan membolehkan Imigresen segera menghalang kemasukan mereka yang boleh menimbulkan ancaman kepada negara.
“Jika wujud tanda ‘red flag’ pada data pelancong berkenaan, maka agensi keselamatan kita akan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya sebelum orang itu meninggalkan lapangan terbang,” katanya.
Kaedah semasa iaitu saringan sebaik ketibaan pula katanya masih boleh melepaskan suspek keluar daripada lapangan terbang.
Ekoran itu, Nur Jazlan berkata kementeriannya sedang memutuskan sama ada kos pelaksanaan sistem APSS akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan atau diturunkan kepada penumpang.
“Ia mungkin bermakna peningkatan dalam cukai lapangan terbang tetapi belum ada apa-apa yang diputuskan lagi,” katanya.
Beliau juga menyatakan, negara-negara seperti Australia, Amerika Syarikat dan Timur Tengah menggunakan sistem APSS di lapangan terbang dan ia terbukti berjaya menghalang individu berbahaya daripada memasuki negara mereka.
Nur Jazlan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata demikian kepada pemberita pada majlis rumah terbuka Hari Raya yang diadakan di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, Johor Baharu.
Tegasnya lagi, sistem itu bukan sahaja akan membantu mengetatkan kawalan keselamatan di dalam negara tetapi di seluruh rantau seperti Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Antarabangsa Senai yang menjadi hab transit bagi pelancong ke negara-negara jiran yang lain.
- TheStar
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment