Monday, 18 July 2016
Parti Baharu: PAS Ambil Pendekatan Tunggu Dan Lihat - Ahmad Yakob
KOTA BAHARU, 18 Julai -- PAS mengambil pendekatan tunggu dan lihat berhubung penubuhan parti baharu yang akan diterajui bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob berkata parti itu menghormati tindakan Dr Mahathir menubuhkan parti baharu, namun masih terlalu awal untuknya membuat sebarang keputusan bagi menjalin hubungan dengan parti itu.
"Bagi saya mana-mana parti pun boleh ditubuhkan di Malaysia sebab kita mengamalkan dasar demokrasi berparlimen. Beliau (Dr Mahathir) merasakan ada kekuatan (untuk tubuh parti baharu), apa salahnya.
"PAS ambil pendekatan tunggu dan lihat dasar, hala tuju dan perjuangan parti baharu itu (sebelum membuat keputusan lanjut)," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Mesra Aidilfitri di perkarangan Jameiah al-Asriah, Jalan Tengku Petra Semerak di sini, Isnin.
Khamis lepas, Dr Mahathir mengumumkan satu pakatan pembangkang yang melibatkan sebuah parti baharu, Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Amanah akan ditubuhkan untuk menentang Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.
Bagaimanapun, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan pakatan baharu itu sebagai sebuah bahtera yang kelam kabut kerana hanya berhasrat mahu menumbangkan kerajaan sedia ada.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment