Thursday, 21 July 2016
PAS mahu ulama turut serta sisasat 1MDB
PETALING JAYA: PAS hari ini menuntut ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat syarikat milik Kementerian Kewangan 1MDB, dan mahu ia turut disertai ulama “yang pakar dalam ekonomi dan kewangan Islam”.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, mengulas perkembangan terkini di Amerika Syarikat di mana Jabatan Kehakiman negara itu mengorak langkah menyita aset 1MDB bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion), berkata siasatan perlu menumpukan sama ada berlaku strategi dan jangkaan pelaburan yang salah.
“Perkara ini dalam ekonomi konvensional adalah biasa, tetapi dalam ekonomi Islam ada hukum berbeza,” katanya dalam satu kenyataan.
Saman yang difailkan Jabatan Kehakiman di Los Angeles itu bertujuan merampas aset yang “terbabit dalam dan boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.
Ia turut menamakan anak tiri perdana menteri, Riza Aziz, seorang penerbit filem Hollywood, kerana dituduh menggunakan dana 1MDB sebanyak RM256 juta.
Riza mengetuai syarikat filem yang menerbitkan “The Wolf of Wall Street” yang dibintangi Leonardo DiCaprio.
Syarikat itu dituduh menggunakan RM256 juta dana haram yang dikeluarkan daripada 1MDB bagi pembikinan filem yang dicalonkan Oscar itu.
“Apakah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan dan bapa tiri kepada Riza Aziz akan terus menyepi?” tanya Tuan Ibrahim.
Tuan Ibrahim turut mempersoalkan bagaimana penyiasat Amerika Syarikat menemui bukti salah laku walaupun beberapa agensi Malaysia yang melakukan penyiasatan sebelum ini enggan mengheret sesiapa ke mahkamah.
“Bagaimana pula dengan Ketua Audit Negara? Apakah beliau kini dapat melengkapkan laporan auditnya yang kini di bawah OSA dengan maklumat-maklumat baru ini?” soal beliau, merujuk laporan audit 1MDB yang terus dirahsiakan, walaupun didakwa dibocorkan portal Sarawak Report baru-baru ini.
“Apakah dengan maklumat terkini, kes 1MDB akan dibuka semula?
“Rakyat sedang melihat apakah kalian sedang bekerja untuk negara dan rakyat, atau individu tertentu?” tambah Tuan Ibrahim.
- FMT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment