Friday, 15 July 2016

PSM tolak 'pembangkang besar' dengan 'bekas diktator'


Parti Sosialis Malaysia (PSM) tidak akan menyertai gabungan 'pembangkang besar' yang diumumkan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, semalam.

Bercakap kepada Malaysiakini, setiausaha agungnya, A Sivarajan berkata, ini kerana PSM tidak mahu bersubahat dengan bekas perdana menteri itu.
"PSM menentang Deklarasi Rakyat dan sebarang gabungan yang diketuai oleh seorang diktator," katanya.

Beliau mengulas kenyataan ketua setiausaha sekretariat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa mereka bersama Mahathir sedang membincangkan keperluan mewujudkan platform pembangkang yang lebih besar.

Sivarajan berkata, pilihan lebih baik adalah membentuk sebuah gabungan terdiri daripada masyarakat sivil, kesatuan sekerja dan parti-parti pembangkang dengan dasar alternatif yang jelas.

"Jika tidak, apa alasan mereka untuk berkempen menentang Umno? Bagaimana kamu boleh bersama dengan Mahathir yang adalah punca segala kegagalan negara hari ini?
"Alternatif baru perlu menawarkan politik baru, bukan pemimpin 'rojak' (campuran)," katanya.

Sivarajan juga menjelaskan bahawa belum ada komunikasi antara PSM, Pakatan Harapan dan kem Mahathir mengenai gabungan baru itu.

Mahathir, semalam mengumumkan pembentukan sebuah parti baru dan gabungan besar selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin pembangkang dan masyarakat sivil di Putrajaya semalam.

- MT

No comments: