Wednesday, 20 July 2016
RM5,000 untuk nyawa seorang manusia
Tahap keselamatan di Malaysia kian membimbangkan apabila satu demi satu kes tembakan dilaporkan setiap bulan sejak Mac lalu.
Sehingga kini, sebahagian besar kes tembakan itu nampaknya bermotifkan dendam.
Tetapi, kerajaan perlu mengambil tindakan segera bagi mengekang individu “bermasalah” daripada mengamuk dan melakukan tembakan rambang seperti yang sering berlaku di Amerika.
Menurut laporan media, sebanyak 233 kes penggunaan senjata api untuk membunuh direkodkan di negara ini dari 2013 hingga April 2016.
Sejak bulan lalu sehingga 7 Julai lalu saja, sebanyak tujuh kes tembakan berlaku di seluruh negara dengan kebanyakan mangsa terbunuh.
Sin Chew Daily melaporkan, sepucuk Glock automatik dijual pada harga RM2,000 di pasaran gelap dan kebanyakan senjata api yang digunakan dalam kes tembakan di negara ini diperoleh daripada pasaran gelap.
Manakala melalui saluran sah, harga Glock tidak lebih RM5,000 dan sebutir peluru pula kurang daripada RM2.
Bayaran untuk seorang penembak upahan pula sekitar RM5,000 dengan kebanyakan mereka berasal dari Thailand, Indonesia dan Filipina yang mungkin terdiri daripada penagih dadah atau lelaki bujang yang amat memerlukan wang.
Selepas misi penembak upahan itu selesai, pistol yang digunakan akan “dikitar semula” dengan dijual dalam pasaran gelap.
Kes tembakan yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini menyebabkan jumlah pengawal peribadi bersenjata di negara ini tidak cukup menampung permintaan semakin meningkat daripada kalangan peniaga Cina dan golongan berada kerana permohonan mendapatkan permit memiliki senjata mengambil masa yang sangat lama.
Menurut sebuah syarikat perkhidmatan pengawal peribadi, upah bagi mendapatkan khidmat pengawal peribadi tidak bersenjata kira-kira RM4,000 sebulan, manakala yang dilengkapi senjata api pula mencecah RM9,000 sebulan.
Golongan kaya biasanya akan mengupah seorang hingga dua pengawal peribadi bersenjata untuk melindungi keselamatan diri dan keluarga mereka.
Selepas kematian seorang ejen hartanah wanita yang ditembak dua lelaki bermotosikal di Taman OUG, Jalan Klang Lama di ibu negara pada Hari Raya pertama, negara dikejutkan dengan kematian empat sekeluarga yang ditembak saudara sendiri yang juga penagih dadah berpistol di Batu Maung, Bayan Lepas pada 13 Julai lalu.
Tidak sampai seminggu, seorang pemandu teksi merompak pelanggan sendiri dalam teksinya berdekatan pusat beli-belah Subang Parade, pagi semalam dengan “menayang” pistol dan pisau sehingga menyebabkan mangsa cedera di telinga dan kerugian lebih RM1,500.
Malaysia yang dulunya aman kini tidak lagi tenteram dan selamat, sebaliknya ibarat negara koboi di mana sesiapa saja boleh memiliki senjata dan menembak sesuka hati.
Kerajaan terutamanya pasukan keselamatan negara perlu memperketat kawalan di sempadan negara bagi mengelakkan penyeludupan lebih banyak senjata api haram ke negara ini, selain menambah jumlah kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan panas bagi memudahkan pemantauan dan merekrut lebih ramai anggota polis untuk memperhebatkan rondaan di sekitar bandar.
Masyarakat juga perlu memainkan peranan masing-masing dengan menjadi mata dan telinga pihak berkuasa, sentiasa peka terhadap keadaan sekeliling dan melaporkan segera maklumat atau jenayah di kawasan sendiri.
Diharapkan kerjasama semua pihak dapat mengembalikan keamanan dan keyakinan rakyat terhadap keselamatan di Malaysia.
- FMT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment