Wednesday, 20 July 2016

Penubuhan Parti Baharu Oleh Tun Mahathir Tidak Gugat UMNO Terengganu - MB


KUALA TERENGGANU, 19 Julai (Bernama) -- UMNO Terengganu tidak akan tergugat meskipun dengan penubuhan parti baharu oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kelak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri yang juga Menteri Besar, Ahmad Razif Abd Rahman berkata UMNO adalah sebuah parti yang kukuh dan yakin ia akan mendapat sokongan yang berterusan daripada setiap anggota parti termasuk di peringkat akar umbi.

"Ini bukan pertama kali berlaku dalam UMNO. Dahulu pun masa Datuk Onn Jaafar menubuhkan Parti Negara, UMNO tetap teguh. Begitu juga dengan penubuhan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Semangat 46.

"Pada saya parti serpihan (UMNO) yang ditubuhkan atas dasar kekecewaan ia tidak akan ke mana-mana kerana rakyat yang memberi sokongan yakin dengan UMNO bahawa ia adalah relevan untuk dahulu, kini dan selamanya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan stesen radio Manis FM di sini hari ini.

Khamis lepas, Dr Mahathir mengumumkan beliau akan menubuhkan parti baharu yang akan menjadi sebahagian daripada komponen pakatan pembangkang bagi menghadapi PRU ke-14.

Di KUALA LUMPUR, Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) melihat hasrat bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan parti baharu, sebagai usaha sia-sia malah parti itu tidak akan kekal lama.

Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata penubuhan sesebuah parti perlu berasaskan kepada perjuangan dan bukan bersifat peribadi.

"Bagi saya kalau ada yang berjuang hanya untuk kepentingan peribadi berbentuk serangan peribadi ia tidak lama.

"Perjuangan mestilah berasaskan kepada ideologi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk dan Jawatankuasa Pelajar Program Parlimen Mahasiswa Kali Kedua 2016 di sini hari ini.

Jelas Abdul Aziz, Mubarak bersifat terbuka terhadap mana-mana bekas pemimpin yang mahu menubuhkan parti baharu memandangkan negara mengamalkan sistem demokrasi.

"Soalnya sekarang adakah parti itu efektif. Jika Tun Mahathir mahu tubuh parti maka beliau boleh teruskan," katanya.

Mengenai persidangan Parlimen Mahasiswa yang akan diadakan pada 26 dan 27 Julai ini, Abdul Aziz berkata persidangan kali ini turut disertai enam institusi pengajian tinggi swasta termasuk 20 institusi pengajian tinggi awam tempatan.

"Seramai 210 perwakilan akan bersidang kali ini. Kami (Mubarak) syorkan universiti terlibat memberi peluang kepada semua kaum dan jantina," katanya.

Katanya usul-usul perbahasan adalah bersifat kontemporari yang dihadapi perwakilan yang juga mahasiswa mewakili institusi pengajian tinggi masing-masing.

"Sebelum bersidang, perwakilan akan menyertai bengkel selama tiga hari bermula 23 Julai ini. Pada bengkel tersebut prestasi pencapaian mereka juga akan dinilai barisan panelis diketuai Ketua Penerangan Mubarak, Tan Sri Abdul Rahman Sulaiman," katanya.

-- BERNAMA

No comments: