NEW DELHI, 18 Julai -- Rakyat Malaysia perlu faham bahawa
cadangan untuk membenarkan hanya penumpang memasuki terminal lapangan
terbang telah dibuat dengan mengambil kira soal keselamatan, kata Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri mengambil perhatian bahawa insiden keganasan
terbaharu menunjukkan lapangan terbang kini menjadi sasaran, oleh itu
keperluan untuk keselamatan tidak harus diambil ringan.
Bagaimanapun, cadangan membenarkan hanya penumpang berada dalam bangunan
terminal masih dikaji oleh Kementerian Pengangkutan, katanya kepada
media Malaysia di sini, Isnin.
"Ia masih satu cadangan. Tetapi kita perlu belajar dari insiden baru-baru ini di lapangan terbang antarabangsa," katanya.
Lapangan terbang di Belgium dan Turki baru-baru ini menjadi sasaran
serangan pengebom bunuh diri hingga mencetuskan kebimbangan tentang
keselamatan lapangan terbang termasuk di Malaysia.
Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, usaha kini
dilakukan untuk mempertingkat keselamatan di Malaysia termasuk menambah
anggota polis dan tentera pakaian preman, yang bertugas di bawah
Strategi Lautan Biru Kebangsaan.
Kabinet, pada mesyuaratnya baru-baru ini mencadangkan hanya penumpang
dibenarkan berada di kaunter daftar masuk sementara mereka yang
menghantar penumpang berlepas hendaklah berada di luar bangunan atau di
tempat tertentu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment