Tuesday 12 July 2016

Tidak perlu bina LCCT baharu


Hasrat Tan Sri Tony Fernandes yang mahu melihat pembinaan lapangan terbang tambang rendah (LCCT) baharu berkecai apabila Timbalan Menteri Pengangkutan menegaskan tiada keperluan untuk berbuat demikian.
Datuk Ab Aziz Kaprawi yang dipetik The Sun berkata, lapangan terbang antarabangsa lain yang dicontohi Malaysia tidak mempunyai LCCT.
Jelasnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) mampu menampung penumpang dan pesawat semua syarikat penerbangan, termasuk AirAsia yang turut membolehkan mereka transit dari satu destinasi ke destinasi lain.
“Anda tidak boleh mengasingkan terminal kos rendah kerana syarikat penerbangan perkhidmatan penuh dan jarak jauh memerlukan keselesaan dan perkhidmatan semasa ketibaan.
“Selain itu, kerajaan berhasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai hab transit, contohnya British Airways juga boleh transit (melalui terminal kami),” jelas Aziz.
Terdahulu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia menggesa Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) membina LCCT baharu memandangkan KLIA2 tidak bersepadu dan tidak mempunyai syarikat penerbangan hibrid, selain hanya AirAsia sebagai syarikat penerbangan murah yang memenuhi 98% trafik di situ.
“KLIA2 boleh diteruskan untuk syarikat penerbangan perkhidmatan penuh.
“Jika MAHB tidak mahu KLIA2 dipanggil tambang murah, mereka patut bina satu yang sempurna ‘supaya kami boleh beri lebih banyak peluang kerja’,” kata Tony.
Komen terburuk yang didengarnya ialah MAHB mengeluarkan pelaburan banyak di KLIA2 dan perlu menaikkan kadar cukai lapangan terbang.
Tony yang kecewa dengan MAHB turut menyelar syarikat itu membina lapangan terbang bernilai RM4 bilion di KLIA2 sedangkan apa yang dimahukannya hanya LCCT pada nilai RM2 bilion di Labu, Negeri Sembilan.
- SUMBER

No comments: