Monday 11 July 2016

Pemandu bas rempuh 10 kereta direman 4 hari


Pemandu bas ekspres yang melanggar 10 kereta berhampiran Terowong Menora di KM265.8 Lebuhraya Utara-Selatan semalam, direman empat hari.
The Star Online melaporkan pembantu pendaftar mahkamah majistret, Ng Geok Nee mengarahkan pemandu bas itu ditahan sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan kes mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, Ketua Polis Trafik Perak, Supt Wan Jamil Wan Chik dilaporkan sebagai berkata, pemandu bas berusia 51 tahun terbabit mempunyai sembilan saman tertunggak antara 2011 hingga tahun lalu.
Jelasnya, ujian air kencing mendapati pemandu bas itu negatif dadah.
“Kami masih menunggu hasil ujian lain daripada Jabatan Kimia.
“Sejumlah 63 saman trafik dikeluarkan ke atas bas itu yang terbabit dalam kemalangan berkenaan,” katanya sambil menambah kenderaan itu akan dihantar ke Puspakom untuk pemeriksaan.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Mohd Azharuddin Mat Sah dalam satu kenyataan menegaskan, ia tidak akan teragak-agak menggantung atau membatalkan lesen pengusaha bas ekspres yang melanggar syarat keselamatan.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dilaporkan The Star Online sebagai berkata, siasatan terperinci akan dijalankan ke atas syarikat bas ekspres terbabit.
“Kami tentu akan mengkaji undang-undang berkaitan dan kami boleh ambil tindakan terhadap syarikat itu jika ia melanggar undang-undang,” katanya selepas melawat Sekolah Menengah Chong Hwa Kuantan, hari ini.
Semalam, Komander Lebuh Raya Zon Utara Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, ASP Hazil Reza Mohd Ghazali dilaporkan sebagai berkata, kemalangan pada jam 2.45 petang Ahad lalu itu berpunca daripada kegagalan brek bas yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur.
Dua cedera selepas bas itu hilang kawalan lalu merempuh 10 kereta, manakala semua 23 penumpang bas itu terselamat.
- SUMBER

No comments: