Monday 1 August 2016

Pegawai bantu seludup senjata jika bagi rasuah, dedah penyeludup

guns-1
GEORGE TOWN: Susulan beberapa kes pembunuhan di negeri ini dan seluruh negara, dan beberapa cubaan bunuh melibatkan senjata api, dipercayai diseludup dari Thailand, dan betapa mudah mendapatkannya merupakan sesuatu yang amat membimbangkan.
Menurut seorang bekas anggota kumpulan jenayah, dia dengan mudah menyeludup masuk pistol semi-automatik 9mm, raifal dan beberapa jenis senjata api lain dari Thailand, melalui Bukit Kayu Hitam, beberapa tahun lepas.
Ditanya bagaimana dia dapat menyeludup senjata api itu tanpa dikesan, katanya perkara itu tidak sukar selagi seseorang itu mengikuti beberapa peraturan mudah.
Peraturan itu amat mudah, katanya. Leraikan senjata api; bersifat tenang dan peramah; sentiasa bergerak dalam kumpulan; dan, guna kereta bersama-sama keluarga kerana peluang menyeludup senjata api dengan memandu bersendirian sukar untuk berjaya.
“Di pusat pemeriksaan kastam, pegawainya hanya menjalankan pemeriksaan dengan menggunakan tangan dan mereka akan menyasarkan anda sekiranya anda berkelakuan mencurigakan.
“Tiada penggunaan alat pengesan logam atau peralatan sinaran x untuk memastikan mereka yang melalui kawasan sempadan tidak menyeludup apa-apa. Daripada skala satu hingga lima, tentang betapa mudahnya (untuk menyeludup senjata api), saya berikan skala dua,” kata bekas penjenayah itu.
Dia juga berkata di negara jiran tertentu, senjata api dijual di mana-mana sahaja seperti goreng pisang panas, dan jika pembeli tahu di mana untuk mendapatkannya dan jenis senjata api yang diingininya, seluruh ‘transaksi’ boleh diselesaikan dalam masa kurang tiga hari.
“Sepucuk senjata api semi-automatik berkualiti baik berharga kira-kira RM2,500 (22,000 bhat) dan peluru hidup (50 biji dalam satu kotak) dijual pada harga kurang RM100. Bagi senjata api canggih, boleh mencecah antara RM8,000 dan RM10,000 satu,” katanya.
Selain penguatkuasaan lemah di sempadan, seorang pengedar senjata api tempatan yang hanya mahu dikenali sebagai Amir, berkata jika penyeludup tahu siapa pegawai kerajaan yang boleh dirasuah, senjata api boleh diseludup dengan lebih mudah, malah tanpa perlu meleraikannya atau berdepan risiko ditahan.
“Kenali orang yang betul, siapa yang perlu dirasuah dan waktu kerja mereka. Mereka akan bawa masuk senjata api itu ke dalam negara, dan apa yang anda perlu lakukan hanya bayar mereka,” katanya.
Menurut beberapa sumber yang boleh dipercayai, bukan sahaja mudah untuk menyeludup masuk senjata api tetapi juga manusia di sempadan.
Mereka mengakui bahawa orang boleh melepasinya dengan hanya memberikan senyuman mesra untuk masuk dan keluar Danok, Thailand kerana Danok adalah untuk rakyat Malaysia dan di antara sempadan Malaysia dan Thailand, terdapat jarak hampir satu kilometer dikenali sebagai ‘No Man’s Land’ atau ‘kawasan bebas’.
Dalam jarak itu, terdapat kedai bebas cukai dan padang golf, dan juga kawasan dikenali ‘laluan tikus” yang digunakan oleh kumpulan-kumpulan untuk menyeludup barangan ke dalam negara, yang merupakan “pusat’ utama bagi penyeludupan.
Seorang daripada sumber itu mengakui pernah menahan satu orang keluar dari but kereta semasa bermain golf pada sebelah petang dekat sempadan Malaysia-Thailand.
Dia mendakwa kaedah terbaik untuk menyeludup barang ke dalam negara ini adalah dengan membeli dan mengambilnya selepas Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) kerana ia melepasi semua pemeriksaan yang perlu.
“Beratus-ratus lori melalui kompleks setiap hari dan kami tidak mempunyai alat untuk memeriksanya secara individu untuk memastikan tidak berlaku penyeludupan. Selain itu, ada antara mereka yang dipertanggungjawabkan untuk memantau sempadan terbabit perbuatan rasuah.”
Menegaskan penjenayah akan sentiasa berusaha mencari jalan untuk mengatasi sistem itu, katanya polis melakukan yang terbaik untuk melindungi negara.
Kebelakangan ini, siasatan polis mendapati wujud perbuatan pembunuh upahan dalam beberapa kes bunuh atau cubaan bunuh di seluruh negara.
Polis menahan dua suspek pembunuh upahan berhubung kes bunuh ejen hartanah Datin Wong Siu Ling. Wanita itu ditembak mati di Taman OUG, Kuala Lumpur pada 6 Julai.
Menurut laporan berita, sepucuk pistol Glock 8l, didakwa digunakan oleh suspek untuk membunuh Wong digunakan dalam dua kes bunuh lain dan satu cubaan bunuh di Perak tahun lepas.
Pada 27 Julai, pemberi pinjaman wang V. Kandasamy ditembak mati dekat Setapak Central oleh dua lelaki.
Lelaki berumur 43 tahun itu disyaki terbabit dalam kongsi gelap, ditembak 16 das oleh lelaki terbabit yang sebelum itu tiba dengan menaiki dua motosikal bersama-sama dua lagi rakan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar tidak menolak kemungkinan kes itu melibatkan pembunuh upahan.
- Bernama

No comments: