Wednesday, 20 July 2016

5 kru bot tunda sah diculik Abu Sayyaf


PETALING JAYA: Lima kru sebuah bot tunda yang ditemui terdampar di perairan Dent Haven, kelmarin disahkan diculik kumpulan pengganas Abu Sayyaf.

China Press memetik penasihat keamanan Presiden Filipina, Jesus Dureza yang dilaporkan Central News Agency sebagai berkata, lima mangsa itu kini berada di selatan Filipina.

Sebuah bot tunda kosong dengan enjinnya masih hidup ditemui terdampar di perairan Dent Haven, Tambisan, Lahad Datu kelmarin dan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Abdul Rashid Harun berkata, polis dan ahli keluarga belum menerima sebarang panggilan meminta wang tebusan daripada mana-mana pihak setakat semalam.

Lima kru itu semuanya rakyat Malaysia dan mereka dikenali sebagai Abd Rahim Summas, 62, juragan bot dari Kampung Tanjung Batu, Tawau; Tayudin Anjut, 45, dari Kampung Tanjung Batu Darat, Tawau; Mohd Ridzuan Ismail, 32, dari Felda Jengka 7, Bandar Jengka, Pahang; Fandy Bakran, 26, dari Kampung Pukat Tawau dan Mohamad Jumadil Rahim, 23, dari Batu 2, Jalan Apas, Tawau.
Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, beliau percaya kumpulan penculik yang berpangkalan di selatan Filipina itu mendalangi kehilangan lima kru itu demi mendapatkan wang tebusan.

- ChinaPress

No comments: