Friday, 9 September 2016

KDN haram 4 buku seleweng fakta Islam

datuk-Seri-Alwi-Ibrahim
PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengenakan perintah larangan terhadap 4 buku kerana mengandungi unsur bercanggah dengan ajaran dan akidah Islam yang sebenar serta fakta tidak benar mengenai institusi keselamatan negara.

Ketua Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata buku terbabit adalah “Pergolakan Pemikiran Islam: Catatan Harian Ahmad Wahib”, “Malaysia And The Club Of Doom: The Collapse Of The Islamic Countries”, “Torture In Malaysia Prisons: Who You Didn’t Know And Need To Know To Act” dan “The Qoran: A Very Short Introduction”.

Keempat-empat penerbitan itu dikenakan perintah larangan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan fikiran orang ramai, memudaratkan kepentingan awam, berlawanan dengan mana-mana undang-undang dan memudaratkan kepentingan negara, katanya.

Tiga daripada buku tersebut mengandungi unsur mengelirukan yang boleh menimbulkan salah faham mengenai pelaksanaan dan amalan agama Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ditetapkan di negara ini, manakala sebuah lagi buku jika dibiarkan boleh mengelirukan pandangan orang ramai terhadap institusi keselamatan negara, katanya.

“Menjadi satu kesalahan sekiranya mana-mana pihak mencetak, mengimport, menghasilkan, menghasilkan semula, menerbitkan, menjual, mengeluarkan, mengeliling, menawarkan untuk menjual, mengedar atau ada dalam miliknya bahan yang dikenakan perintah larangan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alwi berkata berdasarkan Seksyen 8(2) akta berkenaan, mereka yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 3 tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.

- Bernama
Post a Comment