Monday, 18 July 2016
Apa perlu guna istilah asing, soal MCA
PETALING JAYA: MCA hari ini berkata penggunaan istilah asing seperti “kafir dhimmi” dan “kafir harbi” akan hanya mengelirukan rakyat berbilang agama negara ini.
“Istilah yang ‘asing’ dan tidak terdapat di dalam sistem perundangan atau Perlembagaan kita tidak perlu diperkenalkan atau dirujuk sebagai sesuatu yang ada kuasa undang-undang sedangkan ia tidak ada tempat di dalam sistem perundangan kita.
“Kita semua warga negara di bawah Perlembagaan Persekutuan, undnag-undang tertinggi di negara ini,” kata Datuk Seri Ti Lian Ker yang mempengerusikan Biro Keharmonian Agama MCA.
Baru-baru ini, seorang pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempertahankan penggunaan istilah “kafir harbi”.
“Istilah kafir harbi, dulu kini dan selamanya relevan digunakan, berdasarkan nas Al-Quran.
“Bila sebut kafir harbi, bukan bererti semuanya dihukum bunuh, ini menampakkan kelestarian Islam. Hukuman itu bergantung kepada tahap mereka memerangi Allah dan Rasul, mereka kena bunuh kalau mereka membunuh,” kata bekas pegawai Kementerian Dalam Negeri yang juga Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin.
Beliau berkata demikian pada forum “Istilah Kafir Harbi: Kekal relevan atau tidak?” di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim), Sabtu lepas.
“Kafir harbi” bermaksud golongan bukan Islam yang memusuhi umat Islam, manakala “dhimmi” bermaksud mereka yang membayar cukai sebagai rakyat di bawah kerajaan Islam.
Istilah “kafir harbi” menjadi kontroversi selepas Mufti Pahang, Datuk Dr Abdul Rahman Osman berkata wajib memerangi mereka yang menentang pemerkasaan undang-undang syariah seperti dicadangkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Ti berkata penggunaan istilah itu berupa penghinaan dan akan memberi tanggapan salah kepada mereka yang jahil.
“Ia seperti memberi pengiktirafan kepada konsep seperti itu dan menghalalkan pengumpulan ‘cukai’ dan ‘pertumpahan darah’ oleh mereka yang tidak bertanggungjawab dan mengambil peluang memeras atau menyerang mereka yang berlainan ideologi dan agama,” katanya.
- FMT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment