Monday, 18 July 2016
Penyokong mufti Pahang sebar dakyah anti-Islam, kata Khalid Samad
PETALING JAYA: Mereka yang menyokong pendirian Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman berkenaan “kafir harbi” tidak ada beza daripada golongan orientalis yang menganggap Islam ditegakkan melalui kekerasan, kata seorang pemimpin Amanah.
“Inilah pemikiran di sebalik penubuhan kumpulan seperti IS,” kata Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata pemikiran sedemikian juga memberikan gambaran Islam sebagai agama yang fasis dan bersifat perkauman.
“Ia tidak berbeza daripada ideologi Zionis atau Nazi Jerman,” katanya.
Mufti Pahang mengundang kontroversi selepas berkata wajib memerangi mereka yang menentang undang-undang syariah, yang menurutnya adalah “kafir harbi” (golongan memusuhi Islam).
Beliau juga dilaporkan enggan menarik balik kenyataan itu.
Khalid, yang juga ahli Parlimen Shah Alam, memuji mereka yang mengkritik mufti Pahang, dan berkata golongan sedemikian memahami sifat Islam sebagai rahmat sekalian alam.
“Bagi golongan ini, Islam diturunkan bagi menegakkan keadilan, dan umat Islam adalah mereka yang berjasa kepada manusia melalui kebaikan dan keadilan,” kata Khalid.
Menurutnya, Amanah tidak akan memilih jalan mudah dengan menggalakkan fasisme dan perkauman, sebaliknya mencontohi Nabi Muhammad yang menekankan akhlak tinggi di kalangan umat Islam.
- FMT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment