Monday, 18 July 2016

Penculikan Abu Sayyaf: Orang dalam salur maklumat – pakar


PETALING JAYA: Mungkinkah orang dalam yang menjadi dalang kepada kejayaan Abu Sayyaf dalam melakukan penculikan orang tempatan dan warga asing di perairan Sabah?

Pakar keganasan R Paneir Selvam berkata kepada FMT ada kebarangkalian keadaan itu berlaku memandangkan semua cubaan culik untuk mendapatkan wang tebusan oleh pengganas selatan Filipina itu nampaknya berlangsung tanpa halangan.

“Tanpa maklumat orang dalam, bagaimana mungkin pengganas tahu masa dan tempat yang tepat untuk melakukan penculikan?

“Mereka mampu melakukannya walaupun polis meronda. Maklumat pasti datang dari dalam,” katanya kepada FMT.

Pengerusi Persatuan Penyelidik Perundangan dan Dasar itu berkata antara cara terbaik untuk menangani ancaman kumpulan yang bersekutu dengan IS itu ialah dengan bekerjasama dengan orang awam.

“Perairan Sabah berbatu-batuan dan sukar dilindungi, jadi masyarakat perlu menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa.

“Masalahnya sekarang ialah mereka rasa terasing daripada pihak itu.

“Tetapi pihak berkuasa perlu sedar strategi mereka sekarang tidak berjaya, jadi kenapa tidak menggunakan sepenuhnya penduduk yang lebih tahu apa berlaku di persekitarannya?”
Paneir yang juga pensyarah mengenai keganasan di University HELP berkata demikian sebagai mengulas mengenai penculikan tiga kelasi Indonesia awal bulan ini.

Ia insiden terbaru dalam aktiviti penculikan yang berleluasa, berlaku kurang sebulan sejak tujuh anak kapal Indonesia dijadikan tebusan oleh dua kumpulan pengganas Filipina yang berbeza dan ditahan dia dua pulau berasingan di selatan Filipina.

- FMT

No comments: