Monday, 18 July 2016
Cepat daftar parti baharu, nasihat Jazlan kepada Dr M
PETALING JAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad dinasihat mendaftarkan parti baharunya dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia secepat mungkin memandangkan proses kelulusan Kementerian Dalam Negeri memerlukan masa.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dipetik The Star Online berkata, Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia belum menerima sebarang permohonan daripada bekas perdana menteri itu sehingga kini.
“Sebagai ahli politik berpengalaman, Dr Mahathir tahu permohonan itu perlu dihantar kepada Kementerian Dalam Negeri yang akan menentukan sama ada parti baharu bakal diluluskan atau tidak.
“Penilaian dibuat berdasarkan latar belakang pengasas dan rekod sumber kewangan organisasi itu.
“Kami tidak mahu mana-mana parti menerima sokongan kewangan daripada pihak luar yang berniat jahat terhadap negara.
“Kami di kementerian juga tidak mahu rakyat terpedaya dengan parti ini jika ia ditubuhkan demi kepentingan peribadi, bukannya untuk kebaikan rakyat,” kata Ahli Parlimen Pulai itu selepas mengadakan majlis rumah terbuka Hari Raya untuk kawasan Parlimennya di Johor Bahru hari ini.
Khamis lalu, Dr Mahathir mengumumkan sebuah parti baharu yang turut dipersetujui parti pembangkang akan ditubuhkan tidak lama lagi untuk membentuk pakatan pembangkang lebih besar bagi menjatuhkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.
- FMT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment