Monday, 18 July 2016

Keuntungan pelaburan KWAP jatuh


PETALING JAYA: Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) berkata ia menjangkakan pulangan lebih rendah pada tahun ini, dan merancang membeli bon dengan tempoh matang 10 tahun atau lebih sebagai perlindungan daripada pemotongan kadar faedah, lapor Bloomberg.

KWAP, dana persaraan negara kedua terbesar berjumlah RM120 bilion, juga mempertimbangkan menurunkan pulangan sasaran minimum 5% disebabkan ekonomi dunia yang tidak menentu, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Kamaruzaman Wan Ahmad.

“Tidak pernah sebegini sukar bagi sebuah institusi pelaburan menerima pulangan sedemikian, tetapi bagi saya, ini satu perkara baru,” beliau dipetik Bloomberg sebagai berkata.
Bank Negara Malaysia baru-baru ini menurunkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00%.

KWAP berkata keuntungan dan jumlah dividen lebih rendah dijangka berterusan untuk tempoh yang panjang.

Pada 2014, KWAP melaporkan keuntungan kasar 6.15% daripada pelaburannya.
Ia mengekalkan pulangan 5% pada tahun ini kerana fokus terhadap cagaran tempatan dan bukan pelaburan luar negara yang memberikan keuntungan lebih rendah, kata Kamaruzaman.

Pada 29 Jun, ekoran keputusan Britain keluar Kesatuan Eropah, KWAP membeli bon kerajaan 30 tahun yang memberikan pemulangan hasil 4.613%.

Pada 2012, ia membeli bangunan pejabat di 10 Gresham Street yang turut memuatkan Lloyds Banking Group Plc sebagai penyewa utamanya, pada harga £200 juta (RM1.04 bilion), di samping kepentingan 80% dalam pusat membeli-belah Intu Uxbridge pada 2014 dengan harga £174.8 juta (RM908 juta).

KWAP juga merancang menjual bangunan di Bridge Street, Sydney yang menempatkan bursa saham Australia, yang dibelinya pada 2011 dengan harga A$185 juta (RM552 juta), lapor Bloomberg.

- Bloomberg

No comments: