Wednesday, 20 July 2016

Dr Mahathir hargai sokongan Anwar

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini melahirkan penghargaannya kepada seteru utamanya satu ketika dulu Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas sokongan terhadap parti baharu yang bakal didokong bekas perdana menteri itu.
“Saya terima baik penerimaan (Anwar) itu,” katanya ketika mengulas sokongan Anwar yang kini menjalani hukuman penjara lima tahun.
Anwar dipecat sebagai timbalan Dr Mahathir pada 1998, sebelum didakwa atas kesalahan salah guna kuasa dan meliwat.
Sejak itu, kedua-dua tokoh yang pernah menjadi tunjang kerajaan itu tidak pernah bersemuka dan dilihat musuh politik ketat.
Bagaimanapun, beberapa serangan Dr Mahathir terhadap pentadbiran Datuk Seri Najib Razak, serta pertemuan antara pimpinan PKR dan bekas pemimpin Umno dilihat mula merapatkan jurang selama hampir dua dekad itu.
Minggu lalu, Dr Mahathir selepas mengadakan pertemuan dengan bekas pemimpin Umno, Pakatan Harapan dan NGO, mengumumkan akan menubuhkan parti baharu menggabungkan PKR, DAP dan Amanah, bagi menghadapi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.
“Ia suatu perkara positif. Kami menunggu keputusan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) dan mengalu-alukan kerjasama dengan mereka,” kata Anwar ketika ditemui di Mahkamah Tinggi pada 15 Julai lalu.
Pembebasan Anwar
Dr Mahathir bagaimanapun berkata sama ada Anwar akan dibebaskan atau tidak bukan keutamaan.
“Itu perkara kedua. Yang penting sekarang ialah menumbangkan kerajaan. Tanpa itu, tidak boleh berbicara mengenai kebebasan Anwar.
“Apa pun, ia tidak akan berlaku. Jadi kita perlu memastikan keutamaan. Dan keutamaan kita ialah Najib dan partinya tidak menang pada pilihan raya umum akan datang,” kata Dr Mahathir.
Ditanya mengenai kritikan parti yang baharu ditubuhkan merupakan parti “orang kecewa”, Dr Mahathir menjawab: “Mereka boleh berkata apa yang mereka suka. Mereka boleh kata saya nyanyuk, tidak apa.”
- FMT

No comments: