Thursday, 21 July 2016

“Mereka boleh panggil saya nyanyuk” – Mahathir


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihak yang mengecam rancangannya membentuk parti politik baharu boleh “kata apa sahaja yang mereka mahu” kerana beliau tidak mahu tawar hati dengan serangan mereka.

“Mereka boleh panggil saya nyanyuk dan sebagainya, tak apalah.

“Itu kebiasaan orang yang dalam kebimbangan dan rasa perlu memburukkan lawan mereka, jadi tidak apa.”

Bekas perdana menteri itu berkata demikian kepada pemberita seusai pelancaran buku “My Name is Hasmah”. Buku itu merupakan biografi isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Hadir di majlis itu adalah anak-anaknya, Mokhzani, Mukhriz dan Marina, serta bekas Presiden MCA, Tun Dr Ling Liong Sik.

Mereka yang tidak suka akan penubuhan parti baharu itu akan cuba menggambarkan usaha itu nampak “bodoh dan mengarut”,” kata Mahathir.

Tambahnya, parti itu akan dilancarkan dalam masa beberapa minggu lagi.

Mahathir ditanya pemberita mengenai kenyataan sesetengah pihak mengatakan parti yang akan ditubuhkan itu dianggotai oleh individu-individu bersungut.

Antara yang dikatakan berminat menyertai parti baharu itu bekas Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Mahathir, yang tampil sebagai salah seorang pengkritik Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, beliau tidak pasti samada parti baharu itu akan memecahkan undi pembangkang, dan menambah rakyat perlu “tunggu dan lihat”.

Bekas presiden Umno itu bagaimanapun enggan menjawab soalan berkenaan perkembangan terkini parti itu, dan menjelaskan ia tidak patut diberitahu sehingga persetujuan dicapai dengan para penaja.

“Saya bebas untuk bercakap mengenai perkara itu selepas saya bertemu mereka.”

Mahathir juga berkata kepimpinan parti akan diumumkan selepas ia ditetapkan secara formal.
Beliau juga menegaskan dirinya tidak berhasrat untuk memimpin parti itu dan menepis dakwaan dirinya akan menjadi ketua umum parti itu.

- FMT

No comments: