Thursday, 21 July 2016
Kerajaan tak takut ‘ugutan’ pemandu teksi sokong pembangkang
PETALING JAYA: Kerajaan tidak akan tunduk dengan ‘ugutan’ pemandu teksi yang mendakwa 95 peratus akan memberi undi kepada pembangkang jika kerajaan meluluskan perkhidmatan Uber dan Grab serta menghapuskan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Nazri Aziz berkata setiap keputusan yang dibuat kerajaan adalah bagi menjaga keutamaan pengguna, bukan mendengar pandangan sebelah pihak sahaja.
“Apa yang dimahukan oleh pengguna kita kena tunai. Kita bukan hanya mengambil pertimbangan pemandu teksi sahaja.
“Tetapi pertimbangan harus juga diberikan kepada pengguna yang jumlahnya berjuta lebih daripada pemandu teksi. Bagaimana kita nak nafikan hak pengguna kalau itu yang mereka mahukan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Riang Ria Aidilfitri di Matic hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Pengasas Teksi Premium Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail yang mendakwa Lebih 95% pemandu teksi seluruh negara akan menolak BN, pimpinan Datuk Seri Najib Razak.
Sebelum ini Shamsubahrin berkata pemandu teksi akan memulau kerajaan jika cadangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) itu diterima kerana ia akan merosakkan industri teksi.
“Pada PRU13 Najib cakap dia akan pertahankan dan tidak akan membelakangkan, atau khianat kedudukan pemandu dan industri teksi.
“Sekarang kalau Uber diluluskan dan PSV dimansuhkan, dia (Najib) mengkhianati industri teksi seperti yang dijanjikan,” katanya pada sidang media di KLCC hari ini.
Shamsubahrin berkata terdapat 75,000 pemandu teksi di seluruh negara dan beliau yakin 95% daripadanya tidak akan mengundi BN pada PRU14 jika Uber diluluskan dan PSV dihapuskan.
Beliau berkata pihaknya sudah letih menyerahkan memorandum kepada pihak terlibat namun tidak ada tindakan diambil, malah memandang remeh desakan industri teksi.
- FMT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment