Thursday, 21 July 2016

Kerajaan tubuh Mahkamah Khas Siber September ini


PETALING JAYA: Mahkamah Khas Siber dijangka akan ditubuhkan dan akan memulakan operasinya di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula September 2016.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata penubuhan itu berikutan trend jenayah siber di negara ini semakin menjadi-jadi dan berbahaya.

“Antara serangan siber yang membimbangkan seperti meningkat seperti penggodaman, penipuan dalam talian, botnet, web-defacement, kecurian maklumat, pengintipan, judi siber, pornografi,” katanya dalam satu kenyataan.

Azalina berkata fasa seterusnya akan diikuti di Selangor dan Johor kerana ketiga negeri ini mencatatkan kes jenayah siber yang tinggi, dan kemudian disusuli di negeri-negeri lain.

Beliau menambah beberapa agensi-agensi kerajaan sedang berbincang mengenai usaha kearah mengetatkan lagi undang-undang siber sedia ada.

Bagi tujuan itu, kerajaan turut mengambil kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan termasuk badan-badan bukan kerajaan.

“Penubuhan Mahkamah Khas Siber ini adalah sebagaimana penubuhan mahkamah-mahkamah khas lain seperti Mahkamah Khas Rasuah, Mahkamah Khas Koroner, Mahkamah Khas Antipencatutan dan Mahkamah Khas Alam Sekitar dan sebagainya,” jelasnya.

Bagi memastikan mahkamah khas siber ini berfungsi dengan baik dan mencapai matlamat penubuhannya, Azalina berkata hakim-hakim khusus yang akan mendengar kes-kes berkaitan undang-undang siber dan pihak lain yang terlibat akan diberi latihan yang menyeluruh dan mencukupi.

- FMT

No comments: