Thursday, 21 July 2016
Lelaki guna koc wanita mungkin didakwa di mahkamah
PETALING JAYA: Jika anda lelaki, menaiki koc wanita, anda mungkin boleh didakwa di mahkamah.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTM Berhad) kini sedang menjalankan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) agar akta sedia ada dikemaskini bagi mendakwa lelaki yang menggunakan koc wanita.
Menurut laporan akhbar Harian Metro, langkah ini diambil selepas beberapa aduan dan dua kes viral yang diketengah pengguna.
Ketua Komunikasi Korporat KTM Berhad, Ridhwan Arshad berkata, kewujudan Akta Keretapi 1991 boleh dipratikkan tetapi tiada peruntukkan untuk membuat pendakwaan buat masa kini.
“Agak rumit sedikit untuk mendakwa mereka di mahkamah, jadi akta itu perlu diperhalusi dan dikemaskini memandangkan kejadian yang berlaku melibatkan orang asing yang buat-buat tak tahu dan tak faham bahasa.
“Jadi penguatkuasaan daripada pihak kementerian dan SPAD contohnya boleh membantu kami untuk mengatasi masalah ini kerana jika kita menyediakan kemudahan bertaraf dunia tetapi mentaliti masih di tahap sederhana, tiada guna juga,” katanya, lapor akhbar itu.
Baru-baru ini, tersebar dua gambar dalam media sosial menunjukkan lelaki menggunakan koc wanita KTM Komuter manakala wanita mengandung terpaksa berdiri dan seorang wanita terpaksa duduk di lantai.
Perkara ini sudah dibawa ke mesyuarat pengurusan KTM Berhad dan Ridhwan akui pihaknya memandang serius perkara ini.
“Justeru, beberapa tindakan sudah dilaksana termasuk memberi kesedaran kepada pengguna dan penumpang supaya ihsan dan melaksanakan falsafah ‘caring and sharing’.
“Kita dah arahkan pegawai bertugas iaitu polis bantuan dalam keretapi untuk mengarahkan mana-mana lelaki yang menggunakan koc wanita beralih ke koc lain seperti koc 1,2,5 dan 6,” kata Ridhwan.
Tambahnya, mereka yang menggunakan perkhidmatan tren secara berkeluarga juga haruslah menimbang secara rasional untuk tidak menggunakan koc wanita.
“Tindakan tersebut sedang diperhalusi,” jelasnya berhubung pengguna berkeluarga.
Beliau juga kesal dengan kekurangan kesedaran sivik pengguna dan penumpang yang rata-rata terdiri daripada penumpang tempatan.
Koc wanita adalah inisiatif kerajaan yang mula digunapakai sejak 28 April 2010 sebagai salah satu cara memberi keselesaan dan keutamaan kepada penumpang wanita.
KTM Berhad juga menerima pengiktirafan Malaysia Book of Records, 28 November tahun lalu atas usaha berkenaan.
- FMT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment