Friday, 15 July 2016

Najib disindir salahkan Dr M gagal sedia pengangkutan awam


KUALA LUMPUR: Pengusaha teksi menyindir Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana menyalahkan Tun Dr Mahathir Mohamad gagal menyediakan pengangkutan awam yang mapan walaupun 22 tahun menerajui negara.

“Projek (Penyambungan Jajaran Sistem Transit Aliran Ringan, LRT) berbilion ringgit, saya tengok tak secanggih mana, ingat kereta api macam kapal terbang tapi nampak macam bas, stesen lagi lawa daripada kereta api.

“Macam mana orang pakai kot nak naik kereta api, malu nak naik. Kata nak naik taraf buatlah cantik-cantik. Lepas itu nak salahkan pula Tun Mahathir, kata ini salah beliau tak naik taraf kereta api.

“Kalau Tun Mahathir tak luluskan tak ada LRT,” kata Pengasas Teksi Premium Big Blue Datuk Shamsubahrin Ismail.

Beliau berkata demikian pada sidang media di KLCC hari ini untuk mendesak kerajaan supaya campur tangan menyelesaikan isu cadangan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membenarkan perkhidmatan kereta sapu, Uber dan menghapuskan pelaksanaan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Katanya, kerajaan perlu menangguhkan cadangan SPAD itu dan memberi fokus sepenuhnya kepada transformasi industri teksi di negara ini.

Najib sebelum ini menyalahkan Dr Mahathir kerana gagal menyediakan pengangkutan awam yang mapan walaupun 22 tahun menjadi perdana menteri.

Katanya, keadaan pengangkutan awam yang bermasalah kerana pemimpin terdahulu itu tidak menekankan pembangunan termasuk LRT menyebabkan industri tidak berkembang.

- FMT

No comments: