Friday, 15 July 2016
Gabungan Dr M-Pakatan: PAS akan bincang, kata Hadi
PETALING JAYA: Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi berkata parti itu tidak terburu-buru sama ada menyertai gabungan pembangkang yang diumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan semalam.
Namun beliau tidak menolak kemungkinan menyertai gabungan itu, dan berkata ia akan dibincangkan secara terperinci dalam pelbagai peringkat kepimpinan PAS.
“PAS ada jawatankuasa politik, pusat dan Majlis Syura Ulama. Jawatankuasa Pusat (lihat secara) umum, jawatankuasa politik lihat dari segi strategi dan Majlis Syura Ulama dari segi batas sempadan Islam,” katanya menjawab soalan pemberita selepas kuliah Jumaat di Masjid Rusila, Terengganu pagi tadi.
Ahli Parlimen Marang itu berkata PAS setakat ini komited dengan kerjasama “blok ketiga” dengan parti Ikatan.
Perbincangan antara Dr Mahathir, pemimpin tertinggi Pakatan Harapan dan beberapa bekas pemimpin Umno di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya semalam bersetuju penubuhan sebuah parti baharu bagi membentuk gabungan lebih besar dalam menghadapi Barisan Nasional (BN) menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Dr Mahathir berkata antara tokoh yang berminat terhadap parti baharu itu ialah bekas timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas naib presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, dan bekas menteri besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Mengulas seruan damai di kalangan pembangkang oleh timbalannya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Hadi berkata ia bertujuan parti pembangkang lain berhenti menyerang PAS.
“Desakan itu (bermaksud) jangan serang PAS lah. Kita tak pernah tembak orang, orang tembak kita. PAS ada serang siapa? Orang lain (yang serang). Gencatan senjata (perlu) sama-sama,” katanya lagi.
- FMT
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment