Friday, 15 July 2016

PAS kecam Duta Myanmar enggan terima memorandum Rohingya






KUALA LUMPUR: Tindakan kedutaan Myanmar di Kuala Lumpur yang tidak menghantar wakil untuk menerima memorandum dikecam.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata layanan yang diberikan duta Myanmar tidak setara dengan layanan yang diberikan rakyat Malaysia terhadap rakyat Myanmar di sini.

“Kita desak duta Myanmar di Kuala Lumpur memohon maaf atas tindakan mereka yang tidak menghantar wakil.

“Mereka seharusnya menghantar wakil untuk menerima memorandum,” katanya ketika ditemui pemberita,di Kedutaan Myanmar, hari ini.

Memorandum itu bagi membantah dan mengecam tindakan kerajaan Myanmar yang dilihat seolah-olah membenarkan pembunuhan etnik Rohingya.

Ketika memorandum itu dihantar, pintu utama langsung tidak dibuka dan hanya pengawal keselamatan yang menerimanya.


“Kita desak kerajaan Malaysia buat sesuatu memandangkan ia terlibat dalam Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Asean.

“Kita gesa isu ini dibincangkan dalam Asean kerana secara tidak langsung pelarian yang datang ke negara ini menimbulkan masalah,” katanya.

Malah, Tuan Ibrahim berharap rumah ibadat seperti masjid, gereja dan lain-lain digazet sebagai kawasan yang bebas daripada apa-apa situasi.

Selepas solat Jumaat hari ini, hampir 2,000 peserta berarak menuju ke Kedutaan Myanmar. Selain Tuan Ibrahim, turut kelihatan Ketua Pemuda PAS Nik Mohamad Abduh Nik Mat.

Pergelutan di antara etnik Rohingya turut berlaku dengan ada yang bertindak memijak dan menggoyak kain rentang wajah seorang Sami Buddha.

Demonstrasi anjuran PAS itu turut disertai NGO serta etnik Rohingya yang menjadi mangsa di negara berkenaan selepas hak mereka dinafikan.

Bagaimanapun, kelibat pemimpin PKR atau mana-mana parti lain tidak kelihatan.

- FMT

No comments: