Friday 15 July 2016

Bezza: Sedan kecil yang berbeza daripada Perodua lain


PETALING JAYA: Perusahaan Otomobil Kedua (Perodua) yang selama ini terkenal dengan kereta kecil seperti Kancil dan Myvi, bakal melancarkan kereta sedan pertamanya, Perodua Bezza.

Dengan ruang boot yang luas 508 liter padu, hampir setanding dengan Toyota Vios dan 100 liter padu lebih besar daripada Proton Saga, Bezza boleh didapati dengan enjin 1.0 1KR-VE VVTI (sama dengan enjin Perodua Axia), dan enjin 1.3 1NR-VE dwi VVT-i.

Bezza direka sendiri kakitangan Perodua dengan sokongan Daihatsu.
Bagaimanapun, Perodua enggan mendedahkan butiran lanjut ketika dihubungi FMT, sekadar berkata harga jualan ialah sekitar RM40,000-RM60,000.

“Tidak banyak informasi yang boleh saya katakan tetapi Perodua Bezza tidak akan menghampakan anda,” kata Shankari Nathan, Pegawai Perhubungan Pelanggan Perodua di Bukit Mertajam.

Jenama Perodua terbaharu ini mensasarkan mereka yang berkeluarga, dan mampu memberi pertandingan sengit bukan sahaja kepada Proton, malah Toyota dan Honda, dengan model City dan Vios yang mensasarkan keluarga kecil dan berpendapatan sederhana.

Sementara itu, portal permotoran Paultan.org memberikan markah cemerlang bagi Bezza dan berkata ia sesuai bagi mereka yang mencari kereta seperti Honda City dan Toyota Vios.
Antara ciri Bezza ialah enjin yang akan mati sendiri apabila berhenti atau tidak bergerak, tetapi hidup semula secara automatik apabila menekan pedal minyak, ciri penjimatan minyak yang perlu bagi pemanduan di jalan bandar yang sesak.

“Ruang kabin yang luas, mudah untuk anda meletakkan bagasi ketika balik kampung. Bagi keluarga kecil atau ramai, Bezza mampu memberi keselesaan maksima,” rumus paultan.org.
Tempahan untuk Bezza dibuka di kesemua 181 bilik pameran Perodua esok.

- FMT

No comments: