Monday, 11 July 2016

Op Selamat: Kemalangan meningkat, kadar kematian menurun setakat 11 hari


Sebanyak 15,524 kes kemalangan jalan raya direkodkan berlaku di seluruh negara setakat 11 hari pelaksanaan Op Selamat 9/2016 yang bermula 29 Jun lepas iaitu peningkatan sebanyak 2.5 peratus atau 377 kes berbanding 15,147 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Mahamad Akhir Darus berkata bagaimanapun jumlah kemalangan maut menurun 38 kes atau 15.8 peratus apabila mencatatkan 203 kes berbanding 241 kes tahun lepas.

"Selangor negeri paling banyak mencatatkan kadar kemalangan jalan raya iaitu 4,064 kes, diikuti Johor (2,351), Kuala Lumpur (1,707), Perak (1,298) dan Pulau Pinang (1,146)," katanya kepada pemberita selepas melawat dan memeriksa lalu lintas di Plaza Tol Bentong sempena Op Selamat 9/2016 di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Pahang Superintendan Mohamad Noor Yusof Ali dan Komander Subtek Zon Pantai Timur dari Bukit Aman Superintendan Azmi Mansor.

Katanya jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sepanjang 11 hari operasi sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri itu juga menurun kepada 229 kes berbanding 266 kes tahun lepas iaitu penurunan 37 kes atau 13.9 peratus.

Mahamad Akhir berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan berterusan melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan sehingga operasi itu tamat pada 13 Julai nanti untuk memastikan kadar kemalangan jalan raya tidak terus mencatatkan peningkatan pada perayaan Aidilfitri tahun ini.

"Walaupun cuti sudah berakhir dan kebanyakan orang telah pulang bekerja, tetapi masih ada saki baki lagi untuk bergerak balik ke Lembah Klang misalnya.

Jadi kami tidak akan mengurangkan kekuatan anggota kami seramai 5,800 polis trafik dalam Op Selamat 9 ini sehingga tamat operasi.

"Seramai 5,800 anggota trafik ini akan menjaga lalu lintas sehingga 13 Julai ini dan mereka ini tidak boleh bercuti raya selagi Op Selamat 9 ini tidak tamat," katanya.

Dalam pada itu, Mahamad Akhir berkata berdasarkan pemantauan pihaknya mendapati pematuhan pemandu terhadap larangan menggunakan lorong kecemasan terutamanya di lebuh raya semakin bertambah baik berbanding tahun sebelum ini.

Tanpa memberikan jumlah saman, katanya ini kerana secara umumnya jumlah saman yang dikeluarkan kepada pemandu bagi kesalahan berkenaan dilihat semakin menurun setakat 11 hari operasi itu jika dibandingkan dengan tahun lepas.

-Bernama

No comments: