Sunday 24 July 2016

Pembangkang ‘pilih kasih’, desak Najib letak jawatan – Ismail Sabri

Kuala Lumpur – Tindakan pembangkang mendesak Datuk Seri Najib Tun Razak bercuti atau meletak jawatan menyerlahkan sikap hipokrit mereka.
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob  berkata ini jelas menunjukkan sikap ‘pilih kasih’ apabila desakan seumpamanya tidak dibuat terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng, yang berdepan dakwaan rasuah.
“Dalam kes Guan Eng, yang jelas kes jenayah mereka pertahankan, tak perlu letak jawatan atau bercuti.
“Tapi dalam kes sivil ini, tidak ada pun dinamakan perdana menteri sebagai defendan, tiba-tiba mereka suruh perdana menteri letak jawatan. Nampak betapa mereka mempolitikkan isu ini dan mereka bercakap tidak konsisten…pilih kasih,” katanya.
Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat telah menfailkan saman sivil bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwa diselewengkan.
Ismail Sabri yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata isu itu sengaja digembar-gemburkan bagi menutup kes jenayah yang dilakukan oleh Lim.
Ramai yang telah minta dia (Lim Guan Eng) berhenti tapi telah dipertahankan oleh semua ahli majlis tertinggi DAP dan juga pemimpin pakatan pembangkang yang lain, katanya.
Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata isu berkenaan tidak menjejaskan sektor pelaburan dan perdagangan negara.
“Kita tak boleh nak buat andaian. Ini bukan masa kita buat andaian (mengenai impak terhadap 1MDB terhadap pelaburan negara).
“InsyaALLAH kita bersama-sama dalam prinsip tanggungjawab bersama bagi memastikan negara Malaysia akan terus ditadbir dan diuruskan dengan sebaik mungkin…maknanya pelaburan dan sebagainya berjalan dengan baik,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil berkata pihaknya mengalu-alukan langkah tegas kerajaan untuk terus memberi kerjasama dengan pihak badan siasatan antarabangsa dalam isu 1MDB.
Beliau berkata Wanita Umno akan terus menyokong kepimpinan perdana menteri dan menyeru rakyat Malaysia untuk terus memberi sokongan padu kepada kerajaan yang dipilih secara demokrasi.
“Kita sandarkan kepercayaan kepada pihak berwajib mengikut lunas undang-undang yang ditetapkan supaya isu ini dapat diselesaikan dengan segera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shahrizat berkata hak untuk memberi keterangan juga perlu diberikan kepada mereka yang terlibat melalui proses perundangan.
“Asas utama yang perlu dipegang ialah seseorang itu tidak bersalah sehingga didapati bersalah oleh mahkamah,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lenggong Datuk Shamsul Anuar Nasarah menasihatkan agar semua pihak bersikap rasional dan memberi kepercayaan kepada institusi penguatkuasaan sedia ada dalam menangani isu 1MDB.
Beliau berkata kerajaan sentiasa memberi komitmen untuk bekerjasama dengan  mana-mana pihak bagi menyelesaikan segera isu berkenaan siasatan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat terhadap isu tersebut. 
– Bernama


No comments: