Thursday, 21 July 2016

Sita aset 1MDB AS$1 bilion: Malaysia sedia kerjasama


KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia hari ini menyatakan kesediaannya memberikan kerjasama penuh kepada kerajaan Amerika Syarikat, ekoran tindakan Jabatan Kehakiman negara itu memfailkan saman menyita aset berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bernilai AS$1 bilion (RM4 bilion).

“Seperti dinyatakan sebelum ini, kerajaan Malaysia akan bekerjasama penuh dengan mana-mana penyiasatan sah terhadap syarikat atau rakyat Malaysia selari dengan protokol antarabangsa,” menurut kenyataan setiausaha akhbar kepada perdana menteri, Datuk Seri Tengku Sarifuddin.

Katanya, Datuk Seri Najib Razak sentiasa berpendirian undang-undang akan dilaksanakan tanpa pengecualian sekiranya berlaku kesalahan

Saman yang difailkan di Los Angeles itu bertujuan merampas aset yang “terbabit dalam dan boleh dikesan kepada suatu konspirasi antarabangsa untuk mengubah wang yang dilesapkan daripada 1MDB”.

Permohonan saman itu berkata salah laku berlaku sepanjang tempoh empat tahun dan melibatkan pelbagai individu, termasuk pegawai Malaysia dan rakan mereka yang berkonspirasi melencongkan berbilion dolar daripada 1MDB.

Akhbar New York Times sebelum ini melaporkan Jabatan Kehakiman dijangka turut menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz dan ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low, yang namanya sering dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Dipercayai saman itu merupakan kes terbesar yang dibawa Jabatan Kehakiman AS.
Sementara itu, 1MDB dalam satu kenyataan berkata ia tidak dihubungi Jabatan Kehakiman dan tidak dinamakan dalam saman itu.

Syarikat itu bagaimanapun berkata akan memberikan kerjasama dalam sebarang siasatan berdasarkan nasihat penguatkuasa di Malaysia.

- NYT

No comments: