Thursday 18 August 2016

Warga Singapura akui berdepan masalah perkauman, kata tinjauan

singapore-people
SINGAPURA: Tinjauan di republik ini mendapati sikap perkauman masih menjadi masalah bagi sesetengah warganya dengan responden Melayu berkata mereka sebagai golongan minoriti diberi layanan berbeza kerana agama, pendapatan atau taraf pendidikan.

Tinjauan dijalankan Channel NewsAsia dengan kerjasama Institut Pengajian Dasar (IPS) yang diadakan di seluruh negara membabitkan 2,000 responden berusia 21 tahun ke atas itu turut mendapati seorang daripada setiap tiga orang dalam kalangan kaum minoriti pernah rasa didiskriminasikan daripada segi kaum.

Berita Mediacorp melaporkan responden daripada kaum minoriti iaitu Melayu dan India lebih kerap merasakan diberi layanan berbeza daripada orang lain.

Setengah daripada responden kaum minoriti bersetuju dengan kenyataan “orang lain berlagak seolah-olah mereka lebih bagus daripada anda”.

Dua pertiga responden berbangsa Melayu dan India yang mengalami layanan seperti itu mendakwa hanya kerana mereka orang Melayu dan India, mereka diberi layanan sedemikian.

Dalam kalangan responden India pula, 62% daripadanya berkata mereka diberi layanan berbeza kerana warna kulit mereka.

Media tempatan itu melaporkan, ramai responden daripada kaum minoriti berkata kaum merupakan punca pengalaman negatif yang dialami mereka dengan hanya 30% rasa mereka didiskriminasikan kerana jenis kaum.

“Ini mungkin kerana tanggapan ‘diskriminasi kaum’ membawa konotasi pengalaman lebih negatif, melebihi jenis layanan berbeza yang dianggap dialami mereka,” kata pegawai kanan kajian IPS, Dr Mathew Mathews, yang mengetuai tinjauan itu.

Beliau berkata, 60% responden pernah mendengar komen perkauman, dengan kurang sesetengah daripadanya mengambil perhatian komen itu dikeluarkan rakan sekerja dan rakan mereka.

Tinjauan itu juga mendapati kebanyakan responden lebih cenderung kepada individu yang sama kaum dengan mereka sebagai suami atau isteri, untuk membantu mengendalikan perniagaan atau berkongsi masalah peribadi.

Berdasarkan dapatan tinjauan itu, semakin ramai warga Singapura bersikap terbuka untuk berinteraksi secara sosial dengan golongan berlainan kaum.

Contohnya, hampir 70% responden Cina bersikap terbuka untuk menjemput orang India dan Melayu ke rumah mereka untuk menikmati jamuan dengan kebanyakannya terbuka apabila anak atau cucu mereka bermain dengan kanak-kanak India atau Melayu.

“Keseluruhannya, dapatan tinjauan menggariskan warga Singapura mendukung nilai masyarakat berbilang kaum dan cuba menjadikan ideal masyarakat berbilang kaum sebagai sebahagian kehidupan mereka,” katanya dipetik daripada Berita Mediacorp.

Dr Mathews malah berkata kebanyakan warga Singapura “menyedari dan mengiktiraf terdapat sedikit sikap perkauman dalam masyarakat”.


- FMT

No comments: