Thursday, 21 July 2016

Mukhriz: Parti baharu tak jauh berbeza dari Umno


KUALA LUMPUR: Prinsip parti yang akan ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad tak jauh berbeza dari Umno, dedah Mukhriz Mahathir.

Mukhriz, yang dipecat baru-baru ini kerana melanggar displin parti, bagaimanapun merasakan Umno sudah jauh menyimpang dari pangkal jalan.

“Jadi kita nak menunjukkan bahawa kita boleh memperjuangkan hak rakyat dalam parti baru ini,” katanya selepas menghadiri pelancaran biografi ibunya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, bertajuk “My Name is Hasmah”.

Umno ditubuhkan pada 1946 untuk menentang Malayan Union, yang dicadangkan British dalam usaha untuk menjaga kepentingan ekonomi mereka di Tanah Melayu.

Mahathir minggu lalu mengumumkan satu parti baharu sedang dirancang dan akan berjuang bersama individu-individu bersependapat untuk membentuk perikatan pembangkang baru.

Ketika ditanya adakah parti baharu itu akan diketuai bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin – yang turut dipecat bulan lalu – Mukhriz berkata masih terlalu awal untuk mengatakannya.

Beliau bagaimanapun mendedahkan bahawa inti parti masih dalam peringkat perbincangan.

- FMT

No comments: