Thursday 14 July 2016

Pembangkang setuju Dr M tubuh parti baharu


PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, parti pembangkang turut mempersetujui penubuhan sebuah parti baharu tidak lama lagi untuk membentuk pakatan lebih besar menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Bekas perdana menteri itu berkata, pembentukan parti baharu itu bertujuan menentang Barisan Nasional (BN) sekaligus memastikan parti pemerintah terkubur pada PRU14.
Jelasnya, antara individu yang menunjukkan minat berhubung pembentukan parti baharu itu termasuk bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin; bekas naib presiden, Datuk Seri Shafie Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
“Saya akan menjadi yang pertama menyertai (parti baharu), tetapi tidak semestinya sebagai presiden. Parti politik baharu akan membentuk satu pakatan besar untuk lawan BN pada PRU14.
“Pakatan baharu itu boleh disertai sesiapa sahaja termasuk parti pembangkang, NGO dan individu,” katanya selepas mengadakan mesyuarat selama tiga jam dengan pemimpin pembangkang dan NGO di Yayasan Kepimpinan Perdana hari ini.
Bagaimanapun, Dr Mahathir berkata, beliau tidak berminat bertanding pada PRU14, sebaliknya akan memberi tumpuan membantu parti pembangkang menentang BN.
“Bagaimanapun saya tidak berminat bertanding pada PRU14 dan cukup sekadar memainkan peranan penting nanti,” katanya.
Antara pemimpin pembangkang yang turut hadir adalah Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub; Naib Presiden PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin dan Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar.
Kelmarin, bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mendedahkan sebuah parti baharu mungkin ditubuhkan dengan diterajui Dr Mahathir yang akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk menjatuhkan BN.

- FMT

No comments: