Thursday 18 August 2016

Buat pertama kali, AS terima pelarian Islam paling ramai

usa_muslim_600
PETALING JAYA: Amerika Syarikat menerima 28,957 pelarian Islam tahun ini, hampir separuh (46%) daripada lebih 63,000 pelarian yang memasuki negara itu sejak 1 Oktober 2015, menurut analisis Pusat Kajian Pew memetik data Pusat Pemprosesan Pelarian negara itu.

Syria (8,511) dan Somalia (7,234) menyumbang lebih separuh daripada pelarian Islam dan selebihnya dari Iraq (6,071), Myanmar (2,554), Afghanistan (1,948) dan negara lain (2,639).

Pusat Kajian Pew berkata pelarian beragama Kristian kedua ramai dengan 27,556, pertama kali dalam sejarah sejak 2002. Ia adalah kali pertama pengambilan pelarian Kristian (44%) kurang daripada Islam.

Dalam tempoh 15 tahun yang lalu, AS menerima 389,712 pelarian Kristian dan 269,395 pelarian Muslim, iaitu 46% pelarian Kristian manakala 32% ialah Islam.

“Permohonan memasuki AS sebagai pelarian diproses di luar negara dan sebahagian daripada proses itu, mereka diminta menjawab beberapa soalan, termasuk agama mereka.

“Sebaik permohonan diluluskan, pelarian dibawa untuk penempatan semula oleh NGO yang berkaitan. Pelarian AS berbeza daripada pencari suaka yang menuntut suaka selepas sudah berada di AS untuk satu tempoh tertentu atau menyeberangi AS melalui lapangan terbang atau tanah sempadan,” jelas laporan itu.

Pelarian membentuk hanya 10% daripada sejuta pendatang yang diberikan kelayakan penduduk tetap sah di AS setiap tahun.

Selain Islam dan Kristian, turut direkod, 6,552 pelarian agama Buddha, Hindu dan mereka yang berfahaman ateis atau tidak menganut sebarang agama.

Sehingga pertengahan Ogos, AS menerima lebih 63,000 pelarian, kurang 22,000 daripada sasaran yang ditetapkan pentadbiran Obama pada awal tahun 2016.

Daripadanya, 4 negara di mana rakyatnya paling panyak dibawa masuk sebagai pelarian ialah Myanmar (10,464 orang), Republik Demokratik Congo 10,417 orang, Syria 8,569 orang dan Iraq 7,479 orang yang mana mewakili lebih daripada separuh (58%) jumlah pelarian.

Pentadbiran Obama menetapkan untuk menempatkan 10,000 pelarian Syria di AS pada tahun ini dan 86% berjaya diberi kelayakan itu.

- FMT

No comments: