Friday, 5 August 2016

Utusan bukan Umno yang punya, takkan bantu suntik dana

Akhbar berbahasa Melayu, Utusan Malaysia bukan Umno yang punya, kata Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan, Mohd Razlan Muhammad Rafii.
Justeru, tiada keperluan untuk Umno menyuntik dana ke dalam syarikat akhbar yang menerbitkan Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia danKosmo! itu, jelasnya.
"Pengurusan Utusan dikendalikan oleh pasukan pengurus yang profesional yang tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalah kewangan yang berlaku.
"Ini bukan kali pertama, dah banyak kali berlaku (masalah kewangan) tetapi pengurusan Utusan berjaya mengatasi dan menyelesaikannya setiap kali ia berlaku.
"Ini kerana Umno tidak pernah mencampuri urusan jabatan pengarang Utusan walaupun memegang saham," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini, hari ini.
Beberapa hari yang lalu, bekas ketua pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin yang popular dengan panggilan Zam mendedahkan syarikat itu 'sakit' setelah kelewatan pembayaran gaji diumumkan pada 21 Julai lalu.
Dalam reaksi segeranya semalam berhubung pendedahan oleh Zam itu, NUJ Utusan menyebut mereka berdiri teguh di belakang kepimpinan Noordin kerana percaya usaha yang dilakukan bagi menyelamatkan syarikat.
Kesatuan turut menyedari “bukan senang nak bersihkan tahi” yang dilakukan kepimpinan tertinggi sebelum ini.
Selang sehari selepas itu, kesatuan berkenaan mengesahkan ahli-ahlinya yang juga kakitangan bukan eksekutif Kumpulan Utusan telah menerima gaji sepenuhnya bagi bulan Julai.
Justeru, NUJ Utusan Melayu menegaskan bahawa tiada sebarang tindakan akan diambil oleh pihak kesatuan setelah pihak pengurusan menunaikan janji mereka dalam isu kelewatan bayaran gaji berkenaan.
Mengulas lanjut, walapun memiliki pegangan saham dalam firma tersebut disenaraikan di Bursa Malaysia, Umno tidak mencampuri urusan jabatan pengarang akhbar terbitannya.
"Berita-berita yang disiarkan Utusan berlandaskan kebenaran dan fakta, bukan berita-berita yang separa benar apatah lagi berita yang menipu," tambah beliau.
Pada masa yang sama, pihaknya mendakwa melihat Malaysiakini sebagai portal berita propembangkang ekoran iklan-iklan serta berita-berita siarannya yang cenderung pembangkang.
Malaysiakini bebas untuk berbuat demikian kerana Malaysia memberi kebebasan media seluas-luasnya kepada pengamal media untuk menyiarkan sebarang perkara yang boleh dijadikan berita.
"Seperti episod pendedahan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat baru-baru ini, jelas ini semua propaganda oleh negara barat itu yang sengaja menyebut 'Malaysian Official 1' tetapi tidak menjelaskan siapa individu itu," kata beliau lagi.

No comments: