Wednesday, 3 August 2016

Akhbar FT gesa Obama pastikan agensi AS hukum pesalah 1MDB


PETALING JAYA: Akhbar berpengaruh Financial Times (FT) hari ini menggesa Presiden Barack Obama dalam hari-hari terakhir beliau di White House memastikan agensi kerajaan Amerika Syarikat (AS) menyiasat sehingga ke pangkal kes membabitkan 1MDB dan membawa mereka yang bersalah ke muka pengadilan.

Dalam rencana pengarangnya, FT berkata Washington sepatutnya tidak bimbang sekiranya Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak cuba mengalih sokongannya daripada AS kepada China.

“Pentadbiran Obama jangan tunduk terhadap percubaan Najib memaksa Washington terus memberikannya sokongan,” kata FT.

Pada Julai 20, Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman mahu menyita aset berkait 1MDB berjumlah AS$1 bilion, atas dakwaan kecurian wang dan korupsi.

Dokuman penyiasat AS turut menamakan anak tiri Najib, Riza Aziz, menggunakan wang yang dilesapkan daripada 1MDB, bagaimanapun tidak merujuk kepada Najib.

Sebaliknya, jolokan “Malaysian Official 1” sebanyak 32 kali dalam dokumen penyiasat itu menjadi spekulasi di kalangan pemimpin pembangkang yang rata-rata setuju ia merujuk kepada Najib.

FT berkata walaupun Obama dan Najib pernah bermain golf dalam apa yang disifatkan Najib sebagai bukti hubungan eratnya dengan kuasa besar itu, Malaysia kurang disebut dalam urusan harian presiden AS itu.

Obama selama ini cuba mendapatkan sokongan Malaysia untuk Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), di samping cuba memastikan Putrajaya tidak bersekutu dengan seteru ekonominya China.

Bagaimanapun, FT berkata TPP kini bukan lagi faktor, dan kerajaan Malaysia juga tidak mungkin bersekutu dengan China.

“Malangnya TPP bukan lagi keutamaan AS dan ditentang kedua-dua calon utama presiden,” katanya dipercayai merujuk calon Demokrat Hillary Clinton dan calon Republikan, Donald Trump.

“Malaysia tidak akan bersekutu dengan China, lebih-lebih lagi dengan rekod buruk Umno dalam hubungannya dengan penduduk minoriti Cina.”

Akhbar itu berkata Najib perlu memberi laluan sehingga nama beliau dibersihkan, manakala kesemua yang terlibat dalam skandal 1MDB perlu dihukum.

“Ketika beliau sampai ke penghujung kuasanya di White House, Obama perlu menggalakkan semua agensi AS mengejar kes 1MDB dengan menggunakan segala perundangan Amerika dan antarabangsa.

“Ini tidak terhad kepada kemungkinan dakwaan terhadap Najib dan sekutunya, tetapi juga melibatkan bank dan syarikat yang berpakat melarikan lebih AS$3.5 bilion daripada 1MDB,” kata FT.

No comments: