Tuesday 2 August 2016

Akta MKN beri kuasa lebih luas dari ISA, kata NGO hak asasi


Akta Majlis Keselamatan Negara mempunyai kuasa yang lebih luas daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan harus segera dimansuhkan, kata NGO Hak Asasi Manusia antarabangsa.

Akta MKN berkuatkuasa semalam selepas diwartakan sebagai undang-undang tanpa perkenan diraja apabila Majlis Raja-Raja pada tahun lalu meminta undang-undang itu diperhalusi.

Human Rights Watch berkata, undang-undang "luas dan samar-samar" itu memberikan kuasa kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini termasuk mengisytiharkan negara ini sebagai "kawasan keselamatan" untuk melindungi "mana-mana kepentingan Malaysia", yang boleh membenarkan pihak berkuasa menghadkan pergerakan dan menangkap, menggeledah dan menyita tanpa waran selama tempoh yang tidak terhad.

Ini adalah lebih luas daripada ISA, yang membenarkan pengisytiharan kawasan keselamatan hanya sekiranya perlu untuk "menyekat keganasan terancang" terhadap orang atau harta oleh "sekumpulan besar orang", katanya.

Undang-undang itu juga tidak memerlukan inkues mengenai kematian mereka yang terbunuh dalam suatu kawasan keselamatan "akibat operasi yang dijalankan pasukan keselamatan untuk tujuan menguatkuasakan sebarang undang-undang bertulis".

ISA membolehkan pengerusi Majlis Raja-Raja memutuskan sama ada sesuatu kawasan diiystihar sebagai kawasan keselamatan, manakala Akta MKN memberi kuasa ini semata-mata kepada PM.

"Berdasarkan rekod kerajaan Malaysia sebelum ini yang mengganggu dan menangkap pengkritik mereka, penyalahgunaan yang mungkin di bawah undang-undang baru ini adalah benar-benar menakutkan," kata Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights Watch Asia.

"Terdapat kebimbangan yang serius bahawa undang-undang ini akan digunakan sebagai pintu belakang untuk pelanggaran hak-hak yang teruk, dengan menggunakan dakwaan kerajaan bahawa ia hanya bertujuan untuk melindungi rakyatnya daripada ancaman keganasan," katanya dalam satu kenyataan.

Kerajaan mempertahankan Akta MKN sebagai perlu memandangkan ancaman keganasan yang semakin meningkat.

No comments: