Sunday 9 October 2016

Salleh nasihat pembangkang jangan kira ‘telur ayam’

salleh-pakatan-muhyiddin-1
PETALING JAYA: Menteri Umno Datuk Seri Salleh Said Keruak menasihatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya jangan mengira ‘telur ayam’ yang belum menetas dalam ramalannya untuk pilihan raya umum akan datang.
Salleh berkata Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui Muhyiddin dan parti pembangkang lain kelihatan seperti tidak tahu apa yang akan dibuat jika mereka menang dalam PRU.
Muhyiddin semalam berkata parti pembangkang mampu mengambil alih kerajaan negeri Johor jika mereka menang 10 lagi kerusi di negeri itu pada PRU akan datang.
Menulis di blognya, Salleh berkata Pakatan Harapan masih belum memutuskan sama ada untuk memasukkan PPBM dalam gabungan pembangkang atau PPBM hanya turut serta dalam pakatan pilihan raya membabitkan pembahagian kerusi.
“Jika mereka tidak boleh bersetuju sebelum PRU, bagaimana hendak setuju selepas PRU jika menang di Johor,” katanya.
Salleh berkata PPBM juga bukan pesaing berdaya maju kepada kerajaan pada masa ini, dan lebih menjadi parti yang ditubuhkan hanya untuk menggulingkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib razak.
“Muhyiddin perlu meyakinkan pengundi ia ada sesuatu yang lebih baik untuk ditawarkan kepada mereka berbanding kerajaan sekarang,” katanya.
Salleh juga membidas kenyataan bercanggah Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai siapa yang akan mengetuai parti pembangkang.
Baru-baru ini di London, Mahathir berkata Muhyiddin patut menjadi calon pembangkang untuk perdana menteri tetapi semalam, beliau dikatakan membuat kenyataan tiada keperluan membuat keputusan mengenainya pada masa ini.
“Adakah ini kerana PPBM dan Pakatan Harapan bersetuju mengenai calon? Dan kami tahu PAS tidak boleh bersetuju untuk kedua-duanya Anwar dan Muhyiddin. Jadi siapa yang PAS akan pilih sebagai perdana menteri?,” katanya.
Salleh berkata isu ini lebih penting kepada pengundi berbanding hanya “mengira jumlah kerusi yang anda akan menang, tapi tidak tahu apa yang anda akan buat jika menang”.
- FMT

No comments: