Ini kerana rata-rata ibu bapa yang ditemui Malaysiakini menyatakan kutipan yuran PIBG setiap tahun kini sudah cukup membebankan, malah ada keluarga yang tidak mampu untuk membayarnya.
Menurut isteri kepada bekas pekerja Malaysia Airlines (MAS) yang diberhentikan ekoran pengurangan kakitangan syarikat penerbangan itu, Simala Devi a/p Rajan, 41, yuran tahunan PIBG sedia ada sebanyak RM50 itu pun beliau sudah cukup terbeban, inikan pula adanya kutipan dana lain.
Malah, Simala berkata dengan keadaan ekonomi hari ini dan masalah yang dihadapi suami serta bekas pekerja MAS yang sehingga kini masih mencari pekerjaan, ia sangat membebankan.
“Yang RM50 itu pun dah banyak, sebab sekarang ini ekonomi pun merosot, jadi kita kena tahulah ramai yang ada masalah dengan kerja di mana suami saya, bekas pekerja MAS dan baru sahaja dapat kerja tetapi rakan-rakan lain masih belum dapat kerja. Ini nak tambah lagi kutip dana.
“Bukan ke ia membebankan? Saya memang tak setuju dengan cadangan ini,” keluh Simala.
Kata Simala, peningkatan yuran PIBG sebanyak RM20 sejak empat tahun lepas juga menjadi rungutan ibu bapa, inikan pula tambahan dana lain.
“Sebab dulu pun sekolah telah tetapkan RM30 tetapi sejak empat tahun lepas jumlah tersebut telah meningkat kepada RM50. Sekarang ini nak tambah lagi dengan cadangan kerajaan ini, habislah kami,” kata Simala dengan nada bimbang.
Simala berkata jika sebelum ini bayaran bantuan persekolahan sebanyak RM100 dilihat banyak membantu mereka namun kini beliau difahamkan kerajaan telah memutuskan untuk diberikan kepada keluarga yang benar-benar layak sahaja.
“Ada bantuan RM100 sekarang ini pun kerajaan sudah mahu hadkan pemberiannya ikut pendapatan keluarga,” keluhnya lagi.
Bagaimanapun, tambah Simala, jika satu keluarga hanya seorang sahaja yang perlu membayar yuran PIBG, cadangan tersebut masih boleh dipertimbangkan.
Namun sekiranya setiap anak ditempatkan di sekolah yang berbeza, maka ia menyusahkan ibu bapa.
“Bagi saya kalau dalam satu keluarga seorang saja anak yang bersekolah bolehlah kita nak buat kutipan tapi bagaimana dengan mereka yang ada anak ramai atau yang setiap seorang anak mereka bersekolah di tempat yang berbeza? Mahu atau tidak kita terpaksa bagi,” kata Simala.
Kelmarin, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar dilaporkan berkata, PIBG di Selangor mungkin boleh menganjurkan aktiviti mengumpul dana tahunan bagi membiayai kos penyelenggaraan sekolah.
Kerajaan, kata Noh, telah memperuntukkan berbilion ringgit setahun untuk tujuan tersebut namun ia masih belum mencukupi.
Nur Azlinda Yaakob, 44, seorang suri rumah berkata memang beliau akan menyediakan segala kemudahan yang diperlukan anak-anaknya, namun jika segala peruntukan bagi setiap sekolah sudah disediakan, mengapa ibu bapa perlu lagi dibebankan dengan kutipan dana itu.
“Setiap tahun kerajaan umum peruntukan untuk pendidikan dan sekolah, peruntukan yang diberikan banyak dan bukan sikit, tapi kami tak nampak ke mana hala tuju duit tersebut. Cakap saja,” kata Azlinda.
Malah, Azlinda berkata, dengan keadaan ekonomi hari ini bagaimana mungkin ibu bapa dapat menerima cadangan tersebut.
“Kita kena tengok keadaan ekonomi negara hari ini juga, ekonomi negara tak macam dulu yang saya rasa masih di takuk yang agak membimbangkan dan tak selesa khususnya bagi kami yang ada yang bekerja dan ada yang tidak bekerja (suami saja bekerja),” kata Azlinda.
Katanya, cadangan tersebut dilihat bukan sahaja akan berakhir dengan kutipan dana, sebaliknya ia akan berterusan.
Azlinda berkata anak sulung beliau kini sudah berusia 19 tahun dan anak keduanya berumur 17 tahun manakala yang ketiga bersekolah di tahun lima.
Namun, kutipan PIBG ini sudah dibuat semasa anak sulungnya dan hasil kutipan tersebut hanya dapat dilihat tahun lalu di mana anak ketiga beliau berada di tahun empat ketika itu.
“Macam kami ibu bapa nak yang terbaik untuk anak-anak dari semua segi, cuma bagi saya, saranan kutipan dana ini tidak akan habis di sini, ia akan berterusan.
“Dari dulu anak saya dah tiga orang bersekolah di sini dan dari masa itulah kutipan dana dibuat untuk membina dataran sekolah tetapi selepas beberapa tahun baru anak-anak merasa. Bertahun lamanya masa diambil untuk tujuan itu.
“Maknanya untuk kutip dana ini bukan satu tugas yang mudah dan cepat kerana kalau rancang tahun ini mungkin tahun depan baru mula dan lima hingga enam tahun akan datang baru dapat kumpulkan sepenuhnya,” kata Azlina.
Justeru, Azlina menyeru kerajaan mempertimbangkan serta meneliti cadangan tersebut sebaik mungkin.
“Perkara ini perlukan perancangan yang menyeluruh dan teperinci sebab dari segi kutipan ini kalau ikut pengalaman kami bukan senang nak dibuat,” kata Azlina.
Sementara itu seorang lagi suri rumah yang ditemui, Jarina Talib, 44, berkata yuran PIBG yang dibayarnya setiap tahun juga sudah cukup membebankan, maka cadangan tersebut juga dilihat tambahan bebanan kepada mereka.
“Ini membebankan ibu bapa. PIBG nak buat kutipan yuran setahun sekali pun kadang-kadang sampai hujung tahun, malah ada yang tak dapat bayar sekali pun.
“Walaupun ada empat orang anak yang bersekolah dan hanya perlu seorang saja yang bayar pun, ada yang tak mampu,” kata Jarina.
Bagaimanapun Jarina berkata sekiranya sekolah ditimpa bencana, beliau bersedia untuk membuat sumbangan ikhlas tetapi tidak kutipan dana seperti yang dicadangkan.
“Susah untuk dikutip dalam satu-satu masa, macam pagar sekolah yang runtuh baru-baru ini bolehlah kami buat sumbangan ikhlas bagi pihak sekolah tetapi kalau nak buat kutipan bagi jangka masa panjang, saya rasa susah juga,” kata Jarina.
Tambah Rajina lagi, ada satu ketika dulu PIBG cuba membuat kutipan bagi mengupah pengawal keselamatan lalu lintas anak-anak sewaktu datang dan balik sekolah namun cadangan tersebut mendapat bantahan ibu bapa sehingga mengundang perbalahan kecil.
Bagaimanapun, selepas diteliti dan ia dianggap keutamaan barulah ibu bapa bersetuju untuk memberikan sedikit dana kepada sekolah.
"Sebelum ini pun nak upah pengawal keselamatan PIBG bertelagah, inikan pula nak kutip dana tambahan, susah," kata Jarina.
Bagi Rujman Hakim Abdul Rahman, 37, seorang pekerja swasta, kehidupannya di Kulim, Kedah sebelum ini sangat selesa di mana kos sara hidup di sana masih mampu ditanggung beliau.
Namun, atas desakan kerja dan Rujman terpaksa berpindah ke bandar menyebabkan kos sara hidup beliau meningkat.
“Saya berpindah dari Kulim dan baru saja berpindah ke bandar. Di Kulim kos sara hidup sangat rendah dan tak membebankan, belanja sekolah anak satu hari RM2 tetapi di sini mereka perlukan RM5, nampak kos sara hidup di bandar tinggi, inikan pula nak kutip dana lain pula,” keluh Rujman.
Justeru, Rujman merasakan apa yang dicadangkan kerajaan ini sebagai tidak adil kepada rakyat.
“Jadi bagi saya tak adillah, setiap sekolah sudah ada peruntukan dari kerajaan untuk selenggara infrastruktur dia.
“Sekarang ini ibu bapa sudah terbeban dengan kos sara hidup, kemudian nak kena bantu sekolah lagi?" soal Rujman.
Kata Rujman lagi, bukan semua keluarga mampu mengeluarkan belanja untuk tujuan tersebut, namun tetap bersedia mempertimbangkan keperluan kemudahan anak-anak. “Kita tengok jugalah, kalau tak banyak bolehlah dilaksanakan tapi kena tengok juga ekonomi hari ini,” kata Rujman.
No comments:
Post a Comment