PETALING JAYA: Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun berkata sesuatu perkara buruk akan berlaku kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak jika laporan polis tidak dibuat terhadap tiga tokoh negara yang didakwa cuba menggulingkan kerajaan.
Khairul berkata menjadi tanggungjawabnya dalam Pemuda Umno untuk mematahkan sebarang percubaan dan komplot untuk menjatuhkan Najib.
“Menjadi tanggungjawab kita untuk mempertahankan Datuk Seri Najib Razak atas kapasitinya sebagai perdana menteri, presiden Umno dan pengerusi BN.
“Tanpa laporan polis dibuat, sesuatu perkara buruk akan berlaku. Saya ingin memesan jika kamu menyerang Najib, bermakna kamu menyerang Umno dan BN.
Semalam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata laporan Khairul terhadap bekas peguam negara Tan Sri Abdul Gani Patail, bekas gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akthar Aziz dan bekas ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Abu Kassim Mohamed hanya berdasarkan andaian, maka ia tidak akan disiasat.
Ketika ditanya wartawan sama ada cubaannya menyelamatkan Najib gagal apabila polis menutup kes itu, Khairul hanya menjawab, mungkin.
Bagaimanapun, Khairul berkata beliau menganggap laporan polis dibuatnya itu adalah satu kejayaan besar untuk menghalang percubaan menjatuhkan Najib.
Khairul dalam laporan polisnya sebelum ini mengesyaki tiga Tan Sri itu memberi maklumat sulit kepada agensi asing, termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat tanpa kebenaran.
Khairul berkata beliau tidak akan membuat sebarang permohonan maaf ke atas ketiga-tiga tokoh tersebut.
“Never (tidak akan). Berdasarkan kenyataan polis itu kita anggap ia ‘Mexican Standoff” (tersekat),” katanya.
Azwan turut tidak bersetuju jika tindakannya itu dianggap sebagai ‘Kambing Hitam’ dalam Umno.
“Tidak setuju. Saya buat laporan itu atas kapasiti saya kerana dalam laporan polis itu sudah tertera nama saya. Jadi saya buat atas kerelaan sendiri,” katanya.
No comments:
Post a Comment