Sunday 7 August 2016

'Dah banyak parti Melayu, nak ambil siapa lagi jadi ahli?'

Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mahdzir Khalid mempersoalkan tindakan beberapa bekas tokoh parti itu yang ingin menubuhkan parti baru memandangkan sudah terlalu banyak parti Melayu di negara ini.
Bagaimanapun katanya, Malaysia mengamalkan demokrasi dan ia menjadi hak kepada bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menubuhkan sebuah parti baru.
“Ini negara demokrasi. Jadi sesiapa rasa nak tubuh parti, boleh tubuh parti. Hak mereka.
“Cuma kalau saya bercakap dalam konteks Melayu, sudah ada berapa banyak parti dah. Jadi kalau tubuh lagi, maknanya dia nak ambil siapa lagi sebagai ahli, melainkan ambil Melayu jugalah,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Umno Bahagian Setiawangsa di Hotel Seri Pacific.
Sebelum ini Mahathir merancang untuk menubuhkan sebuah parti baru bagi menyaingi BN dengan keanggotaannya terdiri daripada kaum Melayu.
Bagaimanapun beberapa parti utama pembangkang seperti PAS, AMANAH dan PKR turut mensasarkan penyertaan Melayu dalam parti masing-masing.
Mahdzir yang juga menteri pendidikan berkata beliau yakin bahawa ahli Umno tidak akan menyertai parti baru yang akan ditubuhkan Mahathir.
“Saya tak nampak ahli Umno akan pergi (parti baru), sebab yakin dengannya (apa yang ada dalam Umno),” tegasnya.
Sementara itu di dalam ucapannya Mahdzir menyeru agar semua ahli di setiap peringkat memberikan sokongan terhadap Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak yang kini 'diserang hebat oleh pihak luar'.
“Perdana menteri sebagai presiden parti diserang dengan alat komunikasi yang banyak, kalau boleh mereka nak lemahkan Datuk Seri Najib dan turunkan pengaruh perdana menteri. Akhirnya timbul di kalangan ahli keraguan syak wasangka yang akhirnya parti ini menjadi lemah.
“Jadi kita bertekad di seluruh negara atas nama solidariti akan beri sokongan kepada Datuk Seri Najib Razak selaku presiden dan perdana menteri,” tegasnya.
Mahdzir turut meminta supaya ahli Umno supaya 'tidak malu' berada dalam parti itu kerana Umno merupakan parti yang dominan dan kekal berkuasa.
“Kita nak minta kita sebagai ahli Umno di semua peringkat, jangan merasa bahawa kita rasa malu, kita rasa tidak ke hadapan kerana berada dalam Umno kerana Umno adalah sebuah parti yang dominan dan Umno punyai wawasan, gagasan untuk menuju dalam membuat keputusan untuk negara,” katanya.

No comments: