Saturday 6 August 2016

Kemelut TMJ-FAM: Saya tak mahu salah cakap, kata Khairy

khairy-jamaluddin_Tunku-Ismail_fam_600
DUNGUN: Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin tetap fokus meleraikan masalah antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim, demi kepentingan sukan negara.
Berikutan itu, Khairy memilih pendekatan ‘tidak mahu salah cakap’ sehingga mampu menjejaskan rundingan damai yang sedang diusahakannya.
“Apa saja kenyataan yang dibuat mana-mana pihak termasuk exco FAM dan TMJ terpulang kepada mereka,” katanya selepas merasmikan mesyuarat perwakilan bahagian dan sayap Umno Terenganu di sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Tunku Ismail yang menolak jawatan presiden FAM semalam tetapi bersedia mempertimbangkan tawaran sebagai pengerusi Pasukan Kebangsaan dan Ketua Kongres untuk Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP).
Khairy berkata, masih banyak perkara lagi yang hendak diselesaikan dengan exco FAM, TMJ dan lain-lain walaupun beliau hanya akan memainkan peranan di belakang tabir.
Sementara itu, Khairy berkata pembinaan velodrom di Dungun dijangka dimulakan pada tahun depan dan siap dalam tempoh dua tahun.
“Ia dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 dan kita yakin ia akan dapat digunakan dalam tempoh yang ditetapkan,” katanya.

No comments: