Thursday, 4 August 2016

Najib kena belasah, pemimpin Umno diam?

Syed Ali Alhabshee
SHAH ALAM - Barisan pemimpin Umno sepatutnya mempertahankan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pemimpin nombor satu parti itu teruk ‘dibelasah’ pembangkang dalam isu-isu yang meragukan.

Namun malangnya, Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee berkata, hanya beberapa kerat sahaja yang tampil dengan berani membalas serangan itu.

‎“Pemimpin kena berani mempertahankan kedudukan Presiden kerana beliau dipilih oleh ahli parti. Itu tanggungjawab pemimpin dan ahli parti.

‎“Apabila kita berdiam diri, membiarkan rakyat dihujani dengan pelbagai pertanyaan, akibatnya Umno yang menjadi cemuhan,” katanya melalui blog Umno Cheras, semalam.

‎Dalam pada itu, beliau mengingatkan tindakan pemimpin parti yang berdiam diri hanya akan merugikan parti dan rakyat bakal diselubungi dengan pelbagai tafsiran.

‎“Keadaan akan menjadi lebih sukar dan kusut apabila ada pihak tidak bertanggungjawab memutarbelitkan pelbagai isu untuk kepentingan politik.

‎“Tidak perlu kita berasa malu atau takut (untuk mempertahankan Najib) sebabnya kita berjuang atas landasan parti, demi rakyat dan negara,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan Umno perlu dipertahankan kerana hanya parti itu mampu menjadi pelindung kepada masa depan orang Melayu.

"Parti mana lagi yang ada selain Umno? Parti baharu yang khabarnya akan ditubuhkan belum tentu lagi mampu memberi manfaat kepada orang Melayu.

“Penubuhan sesebuah parti politik kerana dirasuk rasa marah, dendam dan kecewa lazimnya tidak bertahan lama,” katanya.

- Sinar

No comments: