Saturday 6 August 2016

Najib: Tak setuju Umno jangan keluar parti, kutuk negara

Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak hari ini mengingatkan pemimpin parti itu di Selangor supaya memperkukuhkan parti dan menyelesaikan perselisihan faham secara dalaman.
Berucap di hadapan 1,000 perwakilan Umno Selangor, Najib berkata perbezaan pendapat bukan sebab mereka perlu menolak Umno yang telah berjasa besar kepada negara.
"Jangan (sebab) perbezaan pendapat kita boleh tolak parti yang sebegini besar jasa pada negara kita. Kalau tak setuju buatlah secara proses dalam parti, betul tuan-tuan?"
"Bukan keluar dari parti, bukan memecah-belahkan parti, bukan mengutuk negara, bukan nak bersubahat dengan orang asing.
"Sebab negara kita akan tentukan siapa layak memimpin bukan di tangan orang lain, ini soal kedaulatan kita, biar rakyat Malaysia yang memilih siapa yang patut memimpin," kata Najib disambut tepukan gemuruh ahli parti Umno.
Beliau dipercayai merujuk kepada parti baru yang ingin ditubuhkan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Najib hari ini hadir merasmikan pelancaran serentak Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian-Bahagian Seluruh Selangor di Dewan Kolej Mara Banting, Bukit Cangang, Kuala Langat dengan dihadiri barisan kepimpinan negeri.
Mengulas lanjut perdana menteri itu berkata pakatan pembangkang sendiri dilihat tidak sepakat dan tidak mungkin dapat menyaingi Umno-BN.
"Tengok parti pembangkang macam mana, tidur sebantal tapi mimpi macam-macam, ada kata keluar Pakatan tapi di Selangor mereka masih bersama PAS.
"Kita bayangkan nasib kita kalau mereka menang di pusat, kestabilan politik negara kita akan tergugat. Segala yang kita bina selama ini akan hancur dalam sekelip mata," tegas Najib.
Justeru Najib berkata adalah penting untuk Umno-BN memandang serius perkara tersebut.
"Kita tak boleh main-main dalam hal ini, ini perkara serius sebab Umno-BN telah bina negara ini atas keringat kita, atas darah kita, atas segala curahan jerit payah sejak kita merdeka.
"Negara kita dibangunkan oleh perjuangan Umno dan rakan kita," tambah Najib.

No comments: