Sunday 7 August 2016

NUJ mahu polis ambil tindakan penyokong serang jurugambar

Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) mahu polis mengambil tindakan terhadap mereka yang menyerang seorang jurugambar akhbar selepas perlawanan Liga Super antara Johor Darul Takzim FC (JDT) dan Perak FA di Stadium Ipoh malam tadi.
Jurugambar New Straits Times Press (NSTP), Supian Ahmad, dilaporkan mengalami kecederaan dalam kekecohan yang menyaksikan penyokong JDT dan Perak membaling botol dan mercun antara satu sama lain.
"Tindakan penyokong menyerang dan menuntut supaya gambar yang diambil dipadam adalah melampau dan biadap.
"Ia adalah tugas jurugambar merakamkan peristiwa semasa perlawanan, termasuk insiden yang berlaku sebelum dan selepas mana-mana perlawanan," kata NUJ dalam kenyataan.
NUJ berkata penganjur perlawanan dan pegawai stadium kini perlu mengikut prosedur operasi bagi memastikan keselamatan kakitangan media.
Ia juga menggesa pihak berkuasa untuk lebih berhati-hati terhadap penyeludupan barang yang tidak dibenarkan dalam tempat perlawanan, memandangkan penggunaan suar dan mercun dalam kejadian malam tadi.
Sementara itu kumpulan media Gerakan Media Marah (Geramm) juga mengutuk serangan itu.
Wartawan perlu dihormati dan diberi perlindungan ketika bertugas, kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
"Geramm yakin bahawa jika  media, pihak berkuasa, anggota keselamatan dan peminat bekerjasama dan menggunakan pertimbangan yang baik dan kelakuan terbaik, kejadian seperti ini boleh dielakkan. Menikmati permainan indah bola sepak akan menjadi pengalaman yang lebih menyeronokkan," katanya .
Menurut Bernama, provokasi tercetus apabila penyokong JDT berlari ke padang untuk meraikan kemenangan 1-0, menyebabkan penyokong kedua-dua pasukan membaling botol dan mercun di antara satu sama lain.

No comments: