Sunday 7 August 2016

Parti baharu bukti ‘rancangan rampasan kuasa’, kata Azalina

azalina-othman_mahathir_600
BERA: Pembentukan parti politik baharu diketuai bekas timbalan perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menunjukkan ada gerakan dalaman yang berlaku untuk menggantikan kepimpinan negara tahun lalu, kata ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Azalinan Othman Said.
Bernama melaporkan, beliau berkata penubuhan parti itu membuktikan tuduhan yang mengatakan butiran mesyuarat Kabinet dan MT dibocorkan adalah betul.
“Mungkin cubaan untuk menggulingkan Najib menerusi Umno mungkin gagal, jadi mereka cuba melalui pembangkang tetapi ditolak, kini mereka guna parti sendiri,” katanya dipetik daripada Bernama.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Bera, hari ini.
Katanya, beliau tidak bimbang dengan parti baharu itu kerana yakin ahli Umno akan terus berdisiplin dan hanya fokus kepada kemenangan parti pada PRU akan datang.
“Itu hak dia. Dalam demokrasi sesiapa pun boleh tubuhkan parti, tetapi terpulang pada rakyat jika mereka mahu sokong kepimpinan seperti ini. Saya percaya rakyat cukup bijak untuk menilai.
“Hari ini berbeza berbanding 10 tahun lalu. Dengan teknologi maklumat yang sofistikated, rakyat boleh nilai ahli politik dengan motif mereka. Paling penting ialah mereka pilih wakil yang boleh selesaikan masalah seperti BN dan Umno,” katanya.
Katanya, sudah terbukti parti serpihan Umno tidak mampu bertahan, merujuk kepada Semangat 46 yang wujud dari 1988 hingga 1996 dan dibubarkan selepas pemimpinnya kembali kepada Umno.
Media dua hari lalu melaporkan beberapa bekas pemimpin Umno membentuk jawatankuasa untuk menyokong bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengemukakan idea pembentukan parti baharu. Muhyiddin dijangka menjadi presiden pro-tem,
Dipercayai antara ahli jawatankuasa itu yang lain ialah bekas menteri besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir; bekas pemimpin akar umbi Umno Akramshah Sanusi dan aktivis pelajar Syed Saddiq Abdul Rahman, menurut Anina Saadudin, ahli Umno Langkawi yang dipecat.

No comments: