Friday, 5 August 2016

Salleh: Ahli Umno perlu bijak nilai motif perjuangan parti baru

Anggota Umno perlu bijak menilai motif perjuangan kepimpinan parti baru yang dipelopori Tun Dr Mahathir Mohamad dan tidak terpengaruh untuk menyertai mereka.

Bendahari Umno, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata pihaknya percaya kepimpinan parti baru itu sudah tentu berusaha mempengaruhi anggota Umno di peringkat bahagian dan cawangan bagi mendapatkan sokongan.

"Kita kena tengok apa motif mereka, mereka dahulu bersama kita (Umno) dan kita tengok apa yang mereka ucapkan ketika dalam parti kita...apabila keluar parti, apa yang mereka katakan sekarang.

"Tun Mahathir sendiri menjadi perdana menteri kerana Umno dan terhutang budi dengan Umno, sekarang beliau bercerita benda yang salah yang dia kata Umno harus disingkir hanya kerana beliau tidak bersetuju dengan Datuk Seri Najib Razak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan pergerakan Wanita Umno bahagian Baling di Kuala Ketil hari ini.

Turut hadir ialah ketua Umno bahagian Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan ketua Wanita bahagian, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Salleh yang juga menteri komunikasi dan multimedia berkata anggota Umno juga perlu menilai serta tidak menerima bulat-bulat setiap maklumat yang diterima khususnya dalam media sosial, yang bertujuan mempengaruhi pemikiran mereka.

Beliau berkata musuh parti akan menjadikan pemimpin tertinggi negara sebagai sasaran dengan menyebarkan pelbagai fitnah bagi menggugat keyakinan rakyat terhadap kepimpinan negara.

"Fitnah di media sosial ini umpama surat layang moden dan kita harus
hati-hati supaya mereka tidak dapat merosakkan perpaduan dalam kalangan kita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Salleh meminta orang ramai memberikan maklumat berhubung aktiviti kumpulan militan Daesh dalam usaha mengekang kegiatan keganasan di negara ini.

Katanya kerajaan telah mengambil tindakan menyekat laman sesawang dan blog yang mempunyai unsur keganasan, namun tidak dapat memantau secara keseluruhan berikutan perkembangan teknologi masa kini.

"Ancaman militan Daesh ini amat serius dan perlu ditangani secara bersama," katanya.

- Bernama

No comments: