Thursday 18 August 2016

Saya tak cari populariti, Najib sindir dasar luar era Dr Mahathir

najib mahathir
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini membidas dasar luar era Tun Dr Mahathir Mohamad yang dianggapnya hanya bagi meraih populariti peribadi.

“Kita pernah ada seorang pemimpin yang membawa dasar luar negara yang sengaja bersikap konfrontasi,” katanya dipercayai merujuk bekas perdana menteri yang terkenal dengan kelantangannya mengkritik kuasa besar.

“Tetapi pendapat yang mengatakan ia menunjukkan Malaysia berani bersuara adalah kepura-puraan. Ia dilakukan bukan untuk kepentingan negara. Sebaliknya, ia hanya untuk kepentingan diri sendiri, pendek akal dan merugikan diri sendiri,” kata beliau, ketika berucap melancarkan Persidangan Persatuan Komanwel bagi Pentadbiran Awam dan Pengurusan (Capam), di Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Mahathir ketika menerajui kerajaan selama 23 tahun kerap menjadi sasaran media antarabangsa kerana mengetengahkan isu negara membangun dan mengkritik polisi negara maju termasuk Amerika Syarikat.

Bekas perdana menteri itu juga mempunyai hubungan dingin dengan Washington, yang menjadi sasaran kritikannya di forum antarabangsa termasuk pada ucapan Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Bagaimanapun, pentadbiran Najib dilihat semakin rapat dengan Washington, dan ini diserlahkan lawatan Presiden Barack Obama ke Malaysia sebanyak dua kali.

Pada Disember 2014, Najib diundang bermain golf dengan Obama, yang menurut Najib adalah bukti hubungan rapat beliau dengan presiden AS itu.

Penganalisis percaya Obama mengharapkan sokongan Najib dalam usahanya merealisasikan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPP), di samping mengawal pengaruh kuasa China di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, Najib hari ini mendakwa Malaysia menyertai TPP dengan bersyarat “tanpa mengorbankan kepentingan negara”.

“Malah, dasar Bumiputera kini termaktub dalam sebuah perjanjian antarabangsa,” katanya.

Menurut Najib, dasar luarnya berlainan kerana ia mementingkan kerjasama dan bukan persengketaan.

“Saya memutuskan kepentingan negara perlu mendapat keutamaan berbandingan kepentingan politik peribadi,” kata Najib, yang menganggap usaha itu membuahkan hasil.

- FMT

No comments: