Thursday 18 August 2016

Ku Nan marah ditanya kes pegawai DBKL ditahan SPRM

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mempertikaikan soalan pihak media berkaitan pegawai Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang ditahan kerana kes rasuah awal minggu ini.

Katanya, soalan tersebut perlu diajukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa mereka.

Selain itu, mengikut pemerhatiannya, pegawai terbabit mempunyai mutu kerja yang memuaskan dan beliau tidak tahu perkara selain daripada itu.

“Kalau kerja mereka bagus, perkara lain selain itu kami tidak tahu, kenapa kamu tuju soalan ini pada saya.

“Ia tidak adil, SPRM untuk apa? Cara awak bertanya tidak adil untuk saya,” katanya sedikit emosi.

Beliau berkata demikian selepas ditanya mengenai kenyataan seorang pegawai kanan SPRM yang hairan mengenai sikapnya yang memberi pujian kepada pegawai DBKL yang ditahan.

Terdahulu, beliau hadir pada Majlis Penyerahan Sumbangan Khas Kepada Golongan Asnaf dan Program Baiti Jannati Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Keramat Mall, Kuala Lumpur.
- MK

No comments: