Friday, 5 August 2016

Fitnah yang perlu dibendung

fitnah
SEJARAH telah membuktikan fitnah membawa suatu peradaban yang ulung tersungkur ke bumi. Malangnya pada masa kini fitnah seolah-olah sudah menjadi norma kehidupan masyarakat. Amat menyedihkan budaya ini mendapat tempat yang utama dan dibincangkan oleh masyarakat arus perdana ketika ini.

Mengikut undang-undang, mangsa fitnah berhak mendapat pembelaan di mahkamah dalam dua keadaan iaitu dengan mendapat ganti rugi atau pampasan terhadap perbuatan yang telah menjatuhkan nama baik mangsa.

Kes fitnah dimulakan apabila seseorang mangsa menyaman seorang yang lain di bawah Akta Fitnah 1957 bagi mendapat perintah halangan ataupun ganti rugi. Dalam kes jenayah pula bila pendakwa mendakwa seseorang kerana melakukan jenayah fitnah sebagaimana yang terdapat dalam Seksyen 499 hingga 502 Kanun Keseksaan.

Islam mempunyai kaedah lebih ketat bagi memastikan kebenaran sesuatu berita supaya tidak terperangkap dengan unsur fitnah. ALLAH memerintahkan umat Islam menyiasat setiap berita yang diterima sebagaimana firman ALLAH bermaksud: “Wahai orang yang beriman, jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidik (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara tidak diingini, dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menyebabkan kamu menyesali perkara yang kamu lakukan.” -Surah al-Hujurat, ayat 6

Mempercayai sesuatu berita fitnah tanpa menyiasat kebenarannya hanya akan menjadikan seseorang itu menghakimi seseorang yang lain dengan kejahilan dan prasangka. Dalam perundangan Islam fitnah terjadi sejak zaman Rasulullah lagi. Amat besar bahaya fitnah terhadap kelangsungan dakwah Rasulullah sehingga ALLAH telah membersihkan nama ‘Aisyah dengan menurunkan beberapa ayat dalam Surah An Nur menjelaskan kesucian Aishah.

Pada akhir tahun 34 Hijrah pula, pemerintahan Islam dilanda fitnah. Sasaran fitnah tersebut adalah terhadap Saidina Uthman hingga mengakibatkan beliau terbunuh pada tahun berikutnya. Saidina Ali bin Abi Thalib bermati-matian membela Saidina Uthman dan menyangkal tuduhan fitnah terhadap Saidina Uthman. Antara fitnah yang dikeluarkan terhadap Saidina Uthman ialah Uthman telah membakar mushaf-mushaf, sembahyang tidak diqasar sewaktu di Makkah, mengkhususkan sumber air untuk kepentingan dirinya sendiri serta melantik pegawai daripada kalangan generasi muda. Uthman juga didakwa mengutamakan segala kemudahan untuk Bani Umayyah (golongannya) melebihi orang lain.”

Saidina Ali mempertahankan Uthman dengan berkata “Mushaf-mushaf yang dibakar ialah yang mengandungi perselisihan dan yang ada sekarang ini adalah yang disepakati bersama kesahihannya. Manakala sembahyang yang tidak diqasar sewaktu di Makkah, adalah kerana dia berkeluarga di Makkah dan dia berniat untuk tinggal di sana. Oleh kerana itu solatnya tidak diqasar. Manakala sumber air yang dikhususkan itu adalah untuk ternakan sedekah sehingga mereka besar, bukan untuk ternakan unta miliknya sendiri. Manakala melantik pegawai daripada generasi muda pula dilakukan kerana mereka mempunyai kemampuan dalam bidang-bidang tertentu.

Saidina Ali mempertahankan Uthman walaupun beliau adalah Khalifah selepas Uthman. Saidina Ali tidak cuba menjatuhkan Saidina Uthman yang menjadi Khalifah dengan menabur fitnah. Bukan matlamat untuk merampas kuasa menjustifikasikan untuk membuat fitnah. Berbalik kepada kisah Saidatina Aisyah yang difitnah termasuk oleh Hassan bin Thabit yang sangat berpengaruh tetapi terjebak dalam mempercayai fitnah terhadap Aishah. Anak saudara Aisyah iaitu Urwah bin Zubair al Awwam yang sudah tidak tahan dengan fitnah tersebut telah mengadu kepada Aisyah. Namun Aisyah menjawab “Anak saudaraku, biarkanlah dia. Dia pernah membela Rasulullah dengan syairnya.”

Jelaslah dalam Islam terdapat metodologi memerangi fitnah sehinggakan orang yang difitnah juga membela orang yang memfitnah itu atas kesedaran dan keinsafan dalam agama. Berbeza dengan apa yang berlaku sekarang fitnah dilawan dengan fitnah yang lain yang akhirnya akan menjadikan masyarakat awam terkeliru.

Dalam keghairahan menegur kesilapan pemimpin pula ramai yang terlalu obses mahu mengetengahkan kesalahan pemimpin. Sudah tidak ada adab lagi dalam menegur pemimpin pada ketika ini. Sebenarnya Islam mengajar kita berahsia semasa menasihati pemimpin, sama ada pemimpin di peringkat persatuan ataupun pemimpin negara. Ini adalah penting demi mengelak tersebarnya rasa tidak puas hati di dalam organisasi.Begitulah cantiknya Islam menangani fitnah.

* Datuk Zainul Rijal Abu Bakar Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia
- Sinar

No comments: